Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor. FOTO Fail BERNAMA
Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor. FOTO Fail BERNAMA
BERNAMA

Kota Kinabalu: Peruntukan pembangunan untuk Sabah berjumlah RM6.6 bilion menerusi Belanjawan 2024 adalah manifestasi komitmen Kerajaan Perpaduan menyeimbangkan pembangunan antara Negeri di Bawah Bayu itu dengan Semenanjung dan Sarawak.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata peningkatan peruntukan tahun depan sebanyak RM100 juta untuk Sabah dan tambahan RM200 juta kepada RM5.8 bilion untuk Sarawak jelas menunjukkan wilayah Borneo terus digerakkan dalam arus pembangunan negara.

"Kerajaan Sabah menyambut baik dan mengalu-alukan penyediaan peruntukan tersebut dan bertekad untuk menjadikannya inspirasi apabila kita membentangkan Belanjawan Negeri Sabah 2024 tidak lama lagi," katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau bersama Menteri Kewangan negeri ,Datuk Seri Masidi Manjun menyaksikan pembentangan Belanjawan 2024 Malaysia MADANI oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Dewan Rakyat menerusi siaran langsung di pejabatnya di Menara Kinabalu, di sini.

Anwar ketika membentangkan belanjawan itu berkata sebanyak RM6.6 bilion diperuntukkan kepada Sabah, manakala RM5.8 bilion lagi untuk Sarawak dengan sejumlah projek pembangunan akan dilaksanakan termasuk membaik pulih sekolah daif dan memperkasa capaian perkhidmatan kesihatan.

Hajiji turut menyifatkan Belanjawan 2024 sebagai 'Belanjawan Merakyat' kerana meletakkan kepentingan rakyat sebagai fokus dan teras keutamaan, selain menunjukkan komitmen Kerajaan Perpaduan menjurus ke arah mengurangkan kemiskinan serta merapatkan jurang pendapatan di negara ini.

Mengambil kira semangat Kerajaan Perpaduan itu, katanya, intipati Belanjawan MADANI 2024 itu akan diambil kira dan disesuaikan dengan teras Hala Tuju Sabah Maju (SMJ) menerusi Belanjawan Negeri Sabah 2024 nanti.

Selain itu, Hajiji menjangkakan dasar fiskal lebih baik dan progresif yang diperkenalkan menerusi Belanjawan 2024 ini akan membawa impak besar kepada Sabah dalam usaha membangunkan ekonomi negeri dan menarik pelaburan asing.

Beliau berkata Sabah akan terus berusaha memperkasa pertumbuhan bagi menggalakkan perdagangan dan pelaburan, dengan sehingga kini perdagangan negeri telah mencatat rekod tertinggi dalam sejarah, iaitu melonjak naik RM118.1 bilion pada tahun 2022 berbanding hanya RM87.2 billion pada tahun sebelumnya.

Selain itu, katanya, dalam tempoh tiga tahun lalu, kerajaan negeri telah berupaya membawa masuk lebih RM33 bilion nilai pelaburan ke Sabah di samping rekod tertinggi dalam kutipan hasil negeri yang mencecah sehingga RM7 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2023 @ 8:51 PM