Dr Azman (kanan) melihat telur ayam dikeluarkan syarikat ladang ternakan ayam penelur dimiliki anak jati negeri ini di Kalumpang, Hulu Selangor, semalam. FOTO BAHAROM BAKAR
Dr Azman (kanan) melihat telur ayam dikeluarkan syarikat ladang ternakan ayam penelur dimiliki anak jati negeri ini di Kalumpang, Hulu Selangor, semalam. FOTO BAHAROM BAKAR
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Kerajaan negeri menyediakan tanah seluas kira-kira 121.5 hektar untuk industri penternakan ayam penelur di Setiu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, industri ternakan ayam penelur akan diwujudkan di Setiu bagi membantu rakyat negeri ini selain di seluruh negara dalam berdepan masalah gangguan bekalan telur.

"Kita sudah adakan perbincangan dengan pengurusan sebuah syarikat ladang ternakan ayam penelur dimiliki anak jati negeri ini di Kalumpang, Hulu Selangor.

"Hasil perbincangan awal itu sangat positif," katanya dihubungi, hari ini.

Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi berkata, syarikat pengurusan ternakan ayam penelur itu menternak kira-kira sejuta ekor ayam dengan kapasiti pengeluaran melebihi 500,000 biji sehari.

Katanya, syarikat itu juga memiliki ladang penetasan anak ayam dan kilang yang mampu memproses makanan haiwan berkenaan.

"Setiu akan menjadi pengeluar telur ayam yang mampu menyumbang terhadap penyelesaian masalah gangguan bekalan sumber protein yang dihadapi rakyat.

"Kita juga mampu menyelesaikan masalah bekalan telur ayam dikuasai kartel," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Azman berkata, kerajaan negeri masih membuka peluang kepada syarikat atau individu yang berminat untuk mengusahakan penternakan ayam penelur dengan menyediakan tanah penternakan di Setiu.

"Langkah kerajaan menyediakan tanah adalah bertujuan memberi peluang kepada rakyat atau syarikat yang berminat untuk mengusahakan ternakan ayam penelur.

"Kita mesti mengurangkan kebergantungan kepada bekalan telur ayam daripada luar negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2023 @ 2:23 PM