MOHD Taufik menunjukkan telur ayam dan ayam penelur lohmann brown yang diternak di kawasan rumahnya. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
MOHD Taufik menunjukkan telur ayam dan ayam penelur lohmann brown yang diternak di kawasan rumahnya. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli

Chukai: "Bekalan telur ayam selalu terputus menyebabkan saya mengambil inisiatif beli ayam penelur sendiri," kata Mohd Taufiq Othman, 33, dari Kampung Mak Chili Paya yang pada mulanya hanya sekadar suka-suka menternak ayam penelur.

Dia yang sebelum ini bekerja dalam bidang minyak dan gas di pelantar minyak akhirnya nekad berhenti kerja dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada bidang penternakan ayam itu.

Menurutnya, ayam penelur jenis lohmann brown itu dibeli sejak tujuh bulan lalu berikutan masalah kekurangan bekalan telur di pasaran.

"Disebabkan terputus bekalan telur saya mengambil inisiatif menternak 100 anak ayam penelur lohmann brown di rumah.

"Saya membeli anak ayam itu daripada seorang pembekal dengan harga RM7 seekor dengan harapan tidak lagi bergantung kepada bekalan telur di pasaran.

"Alhamdulillah selepas empat bulan menternak ayam itu, ia mula bertelur dan kini saya tidak lagi bergantung kepada telur ayam yang dijual di kedai," katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Tambahnya, disebabkan ayam yang diternak itu menghasilkan lebih 80 biji telur sehari ia memberi peluang kepadanya untuk menjual telur ayam berkenaan.

"Saya menjual telur ayam itu kepada penduduk setempat dengan harga yang lebih murah kerana ingin membantu penduduk.

"Telur dijual dengan harga RM9 hingga RM11 untuk 30 biji bergantung kepada saiz telur oleh itu permintaan telur ayam tidak mencukupi sekarang," katanya.

Menurutnya, permintaan tinggi dan kegiatan penternakan ayam penelur yang tidak cerewet mendorongnya untuk berhenti kerja dan memberi tumpuan kepada penternakan itu.

"Sekarang saya menambah lagi jumlah ayam lohmann brown yang diternak sebanyak 600 ekor yang kini berusia sebulan untuk menampung permintaan yang semakin meningkat.

"Saya sudah lama ingin berhenti kerja kerana ingin menjaga ibu, Siti Fatimah Jusof, 69," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Julai 2023 @ 1:59 PM