TINJAUAN stok dan harga telur ayam di sekitar Kuala Lumpur. FOTO Eizairi Shamsudin
TINJAUAN stok dan harga telur ayam di sekitar Kuala Lumpur. FOTO Eizairi Shamsudin
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Peningkatan permintaan dan pembelian telur ayam yang mendadak sebelum, semasa dan selepas cuti perayaan Tahun Baharu Cina baru-baru ini antara penyumbang kepada gangguan bekalan telur ayam di beberapa negeri.

Pengarah Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam berkata, di samping itu, terdapat ladang ternakan ayam dan telur ayam serta syarikat logistik penghantaran tidak beroperasi sepanjang cuti Tahun Baharu Cina malah ada yang cuti lebih dua hari.

"Semua ini menyumbang kepada kelewatan dalam membekalkan bekalan telur dari ladang ke pemborong dan peruncit di beberapa tempat seperti di Terengganu, Negeri Sembilan, Perlis dan Sarawak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, KPDNHEP mengarahkan supaya semua peruncit memperbaharui stok yang ada di premis masing-masing serta menghubungi pemborong dan pengeluar jika stok mereka jatuh ke tahap pesanan semula (re-order limit)

"Kementerian juga mengarahkan supaya peruncit melaksanakan pembelian terhad jika perlu untuk memastikan lebih ramai pengguna dapat membeli dan menikmatinya," katanya.

Beliau turut menjelaskan, rakyat Malaysia menggunakan kira-kira 30 juta biji telur ayam sehari atau 930 juta sebulan di seluruh negara.

"Berdasarkan data pengeluaran telur ayam dari 50 syarikat telur ayam yang mewakili 80 peratus pengeluaran telur ayam di Malaysia, sebanyak 839,281,658 biji telur ayam dikeluarkan pada Disember lalu.

"Unjuran pengeluaran telur ayam bagi Januari pula adalah sebanyak 839,882,296 biji telur ayam.

"Sehingga 3 Februari lalu, sebanyak 91 peratus ketersediaan bekalan telur ayam dalam pasaran negara direkodkan berdasarkan pemantauan yang dilakukan," katanya.

Azman berkata, peratusan ini menunjukkan bekalan telur ayam adalah stabil dan mampu untuk memenuhi permintaan semasa pengguna Malaysia.

"Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP sentiasa melakukan pemantauan dan pemeriksaan setiap hari ke atas kedudukan bekalan barangan keperluan utama di setiap rantaian pengedaran iaitu di peringkat pengeluar, pengilang, pemborong dan peruncit.

"Di samping ayam dan telur, barang-barang lain yang turut dipantau termasuklah gula, minyak masak, tepung gandum, beras, roti putih, susu tepung, ayam, sayur-sayuran, telur ayam dan bawang.

"Kementerian yakin bekalan telur akan kembali stabil dan keberadaannya akan meliputi di semua lokaliti di Malaysia apabila ladang pengeluar telur ayam dan syarikat logistik penghantaran beroperasi semula tidak lama lagi," katanya.

Katanya, kerajaan mengambil langkah intervensi dengan melaksanakan Penentuan Harga Maksimum bermula esok hingga 5 Jun depan.

"Sebanyak dua jenis barangan yang telah ditentukan harga maksimum tersenarai seperti ayam dan telur ayam (Gred A, B dan C).

"Pengguna dinasihatkan tidak membuat pembelian panik atau lebih daripada biasa kerana isu bekalan yang berlaku adalah terpencil dan akan kembali normal dan stabil selepas cuti Tahun Baharu Cina seperti maklum balas diterima daripada pemain industri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Februari 2022 @ 5:30 PM