Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid ketika Program Perintis Rapid KL Safety Point di sekitar MRT ibu kota hari ini. FOTO NUR RAIHANA ALIA
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid ketika Program Perintis Rapid KL Safety Point di sekitar MRT ibu kota hari ini. FOTO NUR RAIHANA ALIA
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: "Saya ambil ini (teguran Ketua Polis Negara) sebagai tanggungjawab untuk memastikan integriti dan tatakelola terbaik di kontinjen Kuala Lumpur," kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid.

Menurutnya, beliau tegas dalam perkara itu dan tidak bertolak ansur terhadap mana-mana pegawai serta anggota yang terbabit sebarang isu salah laku atau integriti.

"Kalau sesiapa sahaja yang terbabit, semua tahu saya serius dalam perkara ini.

"Kita (polis) tidak akan tolak ansur dan kita akan mengambil tindakan tanpa mengira siapa pun mereka (pegawai kanan atau anggota)," katanya dalam sidang media selepas membuat lawatan Projek Perintis Rapid KL Safety Point di Stesen Monorel Hang Tuah di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai teguran Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain supaya Ketua Polis Negeri (KPN) dan Ketua Polis Daerah (KPD) perkasa peraturan kelakuan serta tatatertib.

Terdahulu, teguran Razarudin semasa program Amanat KPN Sempena Perjumpaan Khas Bersama Kepimpinan Tertinggi PDRM dan KPD Semenanjung Malaysia itu tular di media sosial.

Mengulas lanjut, Allaudeen berkata, tanggungjawab dalam memastikan pegawai dan anggota tidak terbabit salah laku bukan hanya terletak pada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) sebaliknya semua KPN dan KPD.

Beliau turut mengalu-alukan orang awam untuk menyalurkan maklumat berhubung salah laku pegawai dan anggota di kontinjen Kuala Lumpur.

Dalam program lawatan berkenaan, Allaudeen menaiki pengangkutan awam kelolaan Prasarana dari Depot MRT Sungai Buloh ke Stesen Monorel Hang Tuah selain meninjau beberapa Safety Point yang terdapat di stesen berkenaan.

Beliau berkata, terdapat lapan 'Safety Point' yang ditempatkan di stesen MRT, LRT dan Monorel terpilih sebagai memastikan keselamatan pengguna.

Katanya, tahap keselamatan pengangkutan awam amat baik dengan kes jenayah yang dilaporkan adalah rendah membabitkan kes kecurian dan gangguan seksual.

"Tiada jenayah besar dilaporkan setakat ini, namun polis bersama Prasarana berusaha mengurangkan insiden jenayah bagi memastikan orang ramai berasa selamat menggunakan perkhidmatan awam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2024 @ 3:48 PM