INDEKS Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), IPU tertinggi setakat jam 10 pagi tadi direkodkan di Cheras, Kuala Lumpur iaitu 157. FOTO Arkib NSTP
INDEKS Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), IPU tertinggi setakat jam 10 pagi tadi direkodkan di Cheras, Kuala Lumpur iaitu 157. FOTO Arkib NSTP
Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: Lapan daripada 68 stesen udara membabitkan enam kawasan di Lembah Klang dan masing-masing satu di Negeri Sembilan dan Melaka mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tahap tidak sihat melebihi bacaan 100, pagi ini.

Berdasarkan maklumat laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), IPU tertinggi setakat jam 10 pagi tadi direkodkan di Cheras, Kuala Lumpur iaitu 157 dan diikuti Banting (156) dan Klang, Selangor (155).

Selain turut mencatatkan kualiti udara tidak sihat ialah Johan Setia (MCAQM), Shah Alam dan Bukit Rambai, Melaka yang masing-masing merekodkan bacaan 153, diikuti Nilai, Negeri Sembilan (151) dan Petaling Jaya (143).

Lapan stesen berkenaan merekodkan bacaan IPU tidak sihat sejak jam 6 pagi tadi.

Sementara itu, sebanyak empat stesen menunjukkan bacaan IPU kategori baik iaitu Kota Bharu, Kelantan; Kimanis, Sabah; Sibu dan Sri Aman, Sarawak mencatatkan bacaan antara 44 hingga 49, manakala kawasan lain kategori sederhana.

Untuk rekod, bacaan IPU antara 0 hingga 50 adalah dikategorikan paras baik, 51 haingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2023 @ 11:12 AM