KHAIRIL Azhar memberi makan kepada lebih 150 kucing dan anjing jalanan di sekitar Sitiawan. FOTO Ihsan Khairil Azhar Khairuddin
KHAIRIL Azhar memberi makan kepada lebih 150 kucing dan anjing jalanan di sekitar Sitiawan. FOTO Ihsan Khairil Azhar Khairuddin
Noor Hidayah Tanzizi


Sitiawan: "Saya percaya berkongsi rezeki dengan kucing dan anjing akan membawa rezeki kepada saya dan penyumbang sama ada kita sedar atau tidak saja. Selagi hayat dikandung badan dan berdaya saya akan teruskan usaha ini," kata Khairil Azhar Khairuddin.

Khairil Azhar, 47, boleh dianggap sebagai 'penghantar' rezeki buat lebih 150 kucing dan anjing jalanan di sekitar Sitiawan kerana sejak tujuh tahun lalu dengan tanpa lelah dia memberi makan kepada haiwan jalanan hampir setiap hari.

Dia yang berkerja sendiri 'menyantuni' haiwan jalanan itu dengan kudrat dan dana sendiri serta sumbangan beberapa individu termasuk rakannya atas rasa ihsan sesama makhluk Allah SWT.

Menurutnya, sebagai pencinta haiwan hatinya diruntun pilu melihat haiwan jalanan terutama yang masih kecil kelaparan dan itu menjentik hatinya untuk membantu haiwan itu.

"Pada mulanya kalau ternampak kucing saya beri makan sikit-sikit dan rasa kasihan melihat semakin banyak kucing yang dibuang serta tidak dipedulikan. Itu yang terdetik hati mahu membantu.

"Kini sudah tujuh tahun saya beri makan kepada haiwan jalanan dengan semakin aktif sejak lima tahun lalu di 18 lokasi sekitar Sitiawan seperti pasar, premis ditinggalkan, taman dan padang setiap hari," katanya yang tinggal di Taman Raja Shahriman, di sini, ketika dihubungi.

Terdahulu, rutin harian Khairil Azhar yang juga bekas pegawai bank memberi makan haiwan jalanan mendapat perhatian pengguna media sosial.

Bapa kepada tujuh anak itu juga kerap berkongsi aktiviti hariannya dan usaha membendung 'penularan' pembuangan kucing dan anjing serta mendidik orang ramai memandulkan haiwan jika tidak mampu membela dalam jumlah banyak.

Bercerita lanjut, Khairil Azhar berkata, dia memerlukan RM1,500 sebulan untuk menyediakan makanan haiwan jalanan dengan turut merebus sendiri hati, kepala, kaki, perut dan pedal ayam kira-kira 35 kilogram (kg) setiap hari.

Katanya, dia turut memberi 10 kg makanan kering serta tiga hingga lima tin makanan basah bersaiz besar setiap hari. untuk haiwan itu yang dicampurkan bersama dan makanan akan diberikan dua kali iaitu pagi dan petang.

"Kalau jumpa kucing sakit saya tak sampai hati dan akan bawa ke klinik untuk dirawat. Sekarang saya bela hampir 40 kucing di rumah yang mana sebahagiannya adalah kucing jalanan yang diselamatkan dan selebihnya kucing sendiri.

"Haiwan itu juga akan menunggu saya, malah sudah kenal hon kereta saya. Kalau tak datang sehari rasa susah hati dan akan cuba beri makan walaupun terlambat, malah ketika demam teruk dulu terpaksa minta rakan beri makan," katanya.

Menurut Khairil Azhar, sepanjang tujuh tahun pelbagai pengalaman sudah dilalui antaranya pernah dimarah kerana memberi makan haiwan jalanan yang dikatakan mengganggu kawasan orang dan ada juga yang cakap dia gila sebab beri makan pada kucing dan anjing setiap hari.

"Tetapi saya tidak mengambil hati atau kisah dengan cakap orang sekeliling selain memahami mungkin ada sebab mereka tak menyukainya (beri makan di beberapa kawasan) namun tidak melemahkan semangat meneruskan usaha itu.

"Ada juga yang bermurah hati dan prihatin sudi membantu walaupun tidak banyak. Saya juga pernah dapat sumbangan makanan kucing, anjing dan wang tunai serta wang itu semua digunakan untuk beli makanan mereka kerana bagi saya ini amanah untuk diagihkan pada haiwan jalanan," katanya.

Katanya, usaha itu dilakukan bukan untuk mendapat pujian tetapi dia ikhlas berkongsi rezeki selain rasa sayang dan kasihan pada haiwan jalanan, namun mengakui kecewa melihat semakin banyak kucing dan anak anjing dibuang.

"Orang selalu beranggapan buang kucing di pasar akan ada orang bagi makan tetapi sebenarnya pasar adalah neraka kucing kerana tak semua orang peduli dengan mereka, malah di mana-mana juga sama.

"Saya merayu tolong hentikan pembuangan haiwan di pasar atau di mana-mana saja dan berharap usahakan untuk diberi orang atau dimandulkan supaya kurang lambakan haiwan itu di jalanan," katanya yang sudah memandulkan lapan kucing.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2023 @ 7:15 PM