ROSLAN menanam pokok `Brachichyton Acerifolius' sebagai simbolik perasmian Projek Pembangunan Landskap Persekitaran Kehidupan di Padang Awam Merlimau Utara. FOTO AMIR MAMAT
ROSLAN menanam pokok `Brachichyton Acerifolius' sebagai simbolik perasmian Projek Pembangunan Landskap Persekitaran Kehidupan di Padang Awam Merlimau Utara. FOTO AMIR MAMAT
Amir Mamat

Jasin: Penerbangan sulung Melaka-Pulau Pinang-Melaka menerusi penerbangan tambang murah Malindo Air dari Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) yang dijadual 1 November ini ditangguhkan lagi.

Ia susulan berlaku peningkatan kes positif Covid-19 di kedua-dua negeri sejak beberapa hari lalu.

EXCO Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur negeri Datuk Roslan Ahmad berkata, beliau tidak menolak kemungkinan penerbangan yang pernah ditangguhkan sejak awal bulan lalu terpaksa ditangguhkan lagi sehingga ke satu tarikh yang akan dinyatakan.

"Sukar untuk industri penerbangan membuka semula laluan ini ekoran peningkatan kes Covid-19 di Melaka dan Pulau Pinang.

"Kita sudah cuba sedaya upaya (untuk memulakan penerbangan) daripada bulan lalu kepada bulan ini, sebelum membuat keputusan untuk memulakan penerbangan awal bulan depan. Namun, perkembangan pandemik ini amat membimbangkan.

"Saya fikir kita perlu tangguhkan lagi walaupun di peringkat syarikat penerbangan itu memang sudah bersetuju untuk memulakan operasi 1 November ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Projek Pembangunan Landskap Persekitaran Kehidupan di Padang Awam Merlimau Utara di sini, hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua MPJ Datin Sapiah Haron.

Projek yang dibangunkan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) bernilai RM5 juta itu akan meliputi pembinaan kawasan riadah untuk orang awam, padang awam, landskap serta tapak aktiviti kemasyarakatan.

Media sebelum ini melaporkan, sektor penerbangan di Melaka dijangka kembali pulih dengan pembukaan semula laluan udara Melaka-Pulau Pinang-Melaka oleh Malindo Air, awal bulan depan.

Langkah berkenaan susulan persetujuan antara kerajaan negeri dengan syarikat penerbangan berkenaan, menerusi beberapa siri perbincangan yang diadakan sejak dua bulan lalu.

Sementara itu, Roslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, kewujudan kawasan Landskap Persekitaran Kehidupan ini dijangka dapat memberi manfaat kepada lebih 30,000 penduduk di sekitar Merlimau.

"Pada masa sama, kepemimpinan kampung di Merlimau Utara menerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) juga akan mendapat sumber pendapatan menerusi sewaan padang bagi aktiviti seperti majlis perkahwinan.

"Saya yakin, kawasan ini akan menjadi tumpuan ramai terutama keluarga, khususnya pada waktu petang untuk beriadah," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 4:28 PM