Muhammad Najmir Razaman

KESELAMATAN anak-anak bermula daripada kesedaran ibu bapa yang peka akan kepentingan penjagaan kesihatan terutama berkaitan penyakit berjangkit.

Wabak pertussis atau lebih dikenali sebagai batuk kokol kini menjadi salah satu penyakit pernafasan yang sangat mudah berjangkit terutama dalam kalangan kanak-kanak.

Mudah berjangkit melalui hidung dan kerongkong, pertussis mengakibatkan batuk yang teruk diikuti dengan bunyi nyaring ketika menarik nafas diikuti bunyi seperti "whoop".

Namun apa yang membimbangkan, bayi yang dijangkiti berkemungkinan tidak batuk namun mempunyai masalah pernafasan atau mengakibatkan nafas mereka terhenti seketika.

Vaksinasi Tdap untuk ibu mengandung

Kejayaan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang dibawa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam mengurangkan kadar kematian bayi yang baru lahir dan kanak-kanak bawah lima tahun menjelang 2030 dikatakan meningkat sejak 1990.

Namun, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kelangsungan hidup kanak-kanak dikatakan menurun sejak 2010 dengan peningkatan kematian bayi baru lahir dalam tempoh 28 hari pertama kelahiran akibat penyakit berjangkit.

Cabaran terbesar timbul dalam usaha melindungi bayi berumur kurang daripada tiga bulan untuk divaksinasi daripada penyakit berjangkit seperti pertussis kerana usia mereka yang terlalu muda.

Oleh itu, pemberian vaksin kepada ibu mengandung dilihat sebagai langkah yang lebih proaktif dalam melindungi bayi mereka dari penyakit berjangkit.

Harus ditekankan, pemberian vaksin ketika mengandung boleh meningkatkan imuniti ibu serta memberikan perlindungan kepada bayi yang disalurkan secara terus melalui plasenta sekali gus melindungi bayi selama beberapa bulan sehingga menerima vaksinasi mereka sendiri.

Di Malaysia, vaksinasi Tetanus Toxoid (ATT) sudah pun dimasukkan ke dalam program imunisasi awam untuk ibu mengandung.

Pun begitu, langkah yang lebih proaktif haruslah diambil bagi melindungi ibu mengandung dan kandunagn mereka.

Sejajar dengan misi tersebut, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini turut memasukkan vaksin Tetanus-difteria-pertussis (Tdap) 3-dalam-1 yang terdiri daripada vaksin ATT namun lebih berkesan ke dalam program vaksinasi ibu mengandung Malaysia.

Menurut Perunding Perubatan Fetomaternal, Jabatan Obstetrik dan Ginekologi Hospital Al-Sultan Abdullah UiTM Puncak Alam, Prof Dr Jamiyah Hassan, usaha ini penting dalam mengurangkan risiko penyakit pada bayi baru lahir yang boleh dicegah dengan vaksin dan menjamin kesihatan kanak-kanak secara keseluruhan di Malaysia.

Pada awalnya, Program Imunisasi WHO berjaya mengurangkan kes pertussis secara global, namun penyakit tersebut muncul semula disebabkan oleh penurunan imuniti dan penolakan vaksin serta kelewatan menerima vaksin.

Di negara ini sahaja, kes pertussis meningkat sejak 20 tahun lalu, dengan kadar penolakan vaksin meningkat daripada 600 pada 2013 kepada 1,600 pada 2016 dan disyaki kes sebenar adalah lebih tinggi disebabkan kes yang tidak dapat dikesan atau tidak dilaporkan.

Kesan pertussis pada dewasa adalah sangat berbeza daripada bayi, namun ia boleh memberi kesan yang ketara kepada mereka yang terlalu muda untuk diberi vaksin.

Sehingga 19 Ogos 2023, KKM melaporkan sehingga 329 kes dengan 23 kematian, manakala 57.4 peratus atau bersamaan 189 kes merupakan bayi di bawah umur 12 bulan.

Pemerhatian di beberapa buah hospital juga mendapati  89.3 peratus kes pertussis yang disahkan berlaku adalah kerana bayi terlalu muda untuk diberi vaksin sepenuhnya atau kurang diberi vaksin untuk umur mereka.

Statistik sedemikian menunjukkan penyakit berjangkit seperti pertussis masih memerlukan perhatian yang serius dan harus dititikberatkan.

Pelbagai kajian jelas menunjukkan bahawa imuniti pasif daripada imunisasi ibu mempunyai kesan yang paling tinggi dalam mencegah pertusis pada bayi baru lahir.

Oleh itu, langkah menguatkan imunisasi para ibu adalah satu strategi penting untuk mengurangkan kadar jangkitan wabak pertussis.

Lindungi anak dari pertussis

Ramai wanita kehilangan peluang menerima vaksinasi Tdap ketika mengandung kerana kesedaran yang rendah, keraguan terhadap vaksin, kebimbangan keselamatan dan kekangan kewangan.

Usah bimbang sebarang vaksin yang disyorkan KKM sudah melepasi pelbagai kajian dan mempunyai peratus keberkesanan yang tinggi termasuklah vaksin Tdap.

Kesan sampingan yang paling biasa daripada vaksin Tdap adalah ringan dan hilang dengan sendirinya dalam masa beberapa hari termasuk sakit, kemerahan dan bengkak di tempat suntikan, demam serta keletihan.

Justeru, sebagai ibu, langkah proaktif sebegini harus diambil bagi memastikan kesihatan kanak-kanak di negara ini lebih terjamin sekali gus merealisasikan sasaran SDG di Malaysia menjelang tahun 2030.

Dapatkan suntikan vaksinasi Tdap segera bagi melindungi diri dan anak anda dari wabak yang tidak diingini terutama pertussis.

Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang ini.

 

Rujukan

1.https://hellodoktor.com/penyakit-batuk-saluran-pernafasan/pernafasan-lain/batuk-kokol/ 

2.Giles ML, Krishnaswamy S, Wallace EM. Maternal immunisation: What have been the gains? Where are the gaps? What does the future hold?. F1000Res. 2018;7:F1000 Faculty Rev-1733. Accessed 21 July 2023.

3.WHO's The Global Health Observatory. Child mortality and causes of death. Child mortality and causes of death (who.int). Accessed 21 July 2023.

4.Frontiers. The Protective Role of Immunisation in Early Life. https://www.frontiersin.org/articles/10.3389/fped.2021.638871/full. Accessed 21 July 2023

5.Ministry of Health's MyHEALTH. ATT vaccine. http://www.myhealth.gov.my/en/att-vaccine/. Accessed 21 July 2023.

6.KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA. Kenyataan Media Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Rancangan Pelaksanaan Pemberian Vaksin Kombinasi Tetanus-difteria-pertussis kepada Ibu Hamil. Facebook. https://www.facebook.com/photo/?fbid=693835669445106&set=pcb.693835722778434. Accessed 23 August 2023

7.Lobzin, Y.V., Babachenko, I.V., Shamsheva, O.V. et al. Retrospective Study of the Clinical Epidemiological Characteristics of Pertussis in Infants Prior to Their First Vaccination in the Russian Federation. Infect Dis Ther 4, 113–123 (2015). https://doi.org/10.1007/s40121-015-0059-9. Accessed 4 August 2023.

8.Juliana Mansor, Halim Ismail, Noriah Ismail. Determinants of Pertussis among Young Children in Selangor, Malaysia. Sains Malaysiana 50(2)(2021): 437-447. http://dx.doi.org/10.17576/jsm-2021-5002-15.https://www.ukm.my/jsm/pdf_files/SM-PDF-50-2-2021/15.pdf.Accessed 18 July 2023.

9.KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA. (2023, August 22). Kenyataan Media Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Situasi Terkini Kes Pertussis (Batuk Kokol) Di Malaysia. Facebook. https://www.facebook.com/photo?fbid=690624766432863&set=pcb.690624819766191 Accessed 24 August 2023

10.Mohamed TJ, Fong SM, Nadarajaw T, et al. Burden of pertussis among young infants in Malaysia: A hospital- based surveillance study. Vaccine. 2022;40(35):5241-5247. doi:10.1016/j.vaccine.2022.07.019. Accessed 4 August 2023.

11.Juliana Mansor, Halim Ismail, Noriah Ismail. Determinants of Pertussis among Young Children in Selangor, Malaysia. Sains Malaysiana 50(2)(2021): 437-447. https://www.ukm.my/jsm/pdf_files/SM-PDF-50-2-2021/15.pdf. Accessed 18 July 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2023 @ 5:50 PM