MUHAMMAD Sanusi Md Noor. FOTO arkib NSTP
MUHAMMAD Sanusi Md Noor. FOTO arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan beliau sudah memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung isu berkaitan unsur nadir bumi (REE) di Sik.

Katanya, proses memberi keterangan kepada pegawai SPRM itu dibuat di pejabatnya minggu lalu, dengan beliau memberi kerjasama penuh bagi membolehkan siasatan kes berkenaan berjalan lancar.

"Saya buat kerja (beri kenyataan kepada SPRM) senyap-senyap, kalau tiap-tiap proses agensi semua kena beritahu dalam surat khabar, jahanam kerajaan ini.

"Tak ada serahan dokumen apa, tak ada apa, bagi keterangan biasa. Saya ingat hanya empat soalan saja (ditanya pegawai SPRM. Saya bukan orang jahat nak tanya banyak, saya dikenali sebagai orang baik, tanya sikit pun padan," katanya ketika ditemui selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri berkata, beliau berharap tiada pihak membuat spekulasi negatif mengenai proses keterangan yang diberikannya kepada SPRM kerana kes terbabit masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Pada 26 Julai lalu, Muhammad Sanusi memaklumkan kesemua 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) turut dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan SPRM berkaitan isu REE.

Sementara itu, Muhammad Sanusi menasihatkan orang ramai tidak melakukan penjelajahan REE secara haram berikutan mineral itu bukan boleh di dulang seperti emas dan bijih timah.

"Nak ambil REE bukan mudah kerana ia perlu ada teknologi dan melalui banyak proses. Dia bukan macam bijih timah, emas, boleh dulang nampak emas. Ada macam-macam proses tujuh lapan peringkat, tidak mudah untuk pihak yang tak ada teknologi.

"Ada dua negara saja ada kemahiran iaitu China dan Amerika Syarikat, dan kedua-dua teknologi itu tidak dipindahkan. Itulah kita sedang berunding supaya teknologi itu dibawa ke sini, dibuka kilang di sini.

"Kalau pakai korek tanah apa semua, nak dulang nak ayak, nak cucuh sendiri. Boleh jadi bahan REE tak jadi. Sebab ada proses kimia yang panjang. Tiap-tiap elemen kena melalui satu proses, jadi tidak mudah," katanya.

Semalam media melaporkan, Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh mengesahkan sembilan individu yang didakwa di Mahkamah Sesyen Baling atas tuduhan menceroboh Hutan Simpan Rimba Teloi di Sik pada 14 September lalu, disyaki menjalankan penerokaan REE.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2023 @ 1:39 PM