Antara warga asing yang diperiksa dalam Op Khas Saman Warga Asing. FOTO Polis Shah Alam
Antara warga asing yang diperiksa dalam Op Khas Saman Warga Asing. FOTO Polis Shah Alam
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Berkeliaran menunggang motosikal tanpa memiliki lesen sah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Itu antara kesalahan popular dilakukan ramai warga asing di bandar raya ini sepanjang operasi dilakukan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam sejak 1 Disember lalu.

Operasi Op Khas Saman Warga Asing itu yang dijalankan di sekitar kawasan pentadbiran IPD Shah Alam membabitkan 11 pegawai dan anggota polis Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, sebanyak 19 kenderaan pelbagai model milik warga asing disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana pemiliknya tidak mempunyai lesen memandu kelas B2.

"Operasi khas ini tertumpu kepada kenderaan dipandu atau ditunggang warga asing tanpa dokumen memandu kenderaan yang sah termasuk lain-lain kesalahan.

"Antara kesalahan mereka adalah tiada lesen dan tiada cukai jalan. Siasatan juga mendapati rata-rata kenderaan itu dibeli oleh pemiliknya berikutan penemuan dokumen sah.

"Kita hanya sita kenderaan, tiada tangkapan. Operasi khas ini dilaksanakan serentak di seluruh negara susulan banyak rungutan diterima PDRM dari pelbagai pihak berhubung ketidakpatuhan warga asing terhadap undang-undang dan peraturan jalan raya," katanya semalam.

Beliau berkata, secara keseluruhannya sejumlah 267 saman dikeluarkan polis atas pelbagai kesalahan termasuk kesalahan membabitkan lesen memandu.

"Sebanyak 567 kenderaan dan 583 individu diperiksa dalam operasi itu. Polis Shah Alam akan terus komited dalam menjalankan penguatkuasaan sebagai peringatan dan kesedaran kepada pengguna kenderaan semasa berada di atas jalan raya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2022 @ 3:08 PM