Noorazura Abdul Rahman


Bandar Baharu: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berhubung kenyataannya berkaitan isu dana Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) dan kecurian unsur nadir bumi (REE).

Beliau berkata maklumat yang dinyatakan Menteri Dalam Negeri itu tidak benar kerana bersifat mengelirukan, berniat jahat untuk memfitnah dan bermotifkan politik.

Katanya, Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah bukan dikompaun atas kesalahan mencuri mineral berkenaan tetapi disebabkan agensi terbabit adalah pemegang permit ladang hutan di kawasan yang berlaku kecurian.

"Satu permit penggunaan dikeluarkan atas nama MBI yang melantik satu syarikat usaha sama untuk membangunkan ladang hutan, bukan syarikat berkenaan yang dikompaun.

"Yang dikompaun adalah pihak ketiga yang menceroboh dan melakukan kegiatan mencuri (REE). Dalam dokumen Pejabat Tanah dan Galian (PTG) terdapat nama individu yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 426 Kanun Tanah Negara 1965.

"Untuk tuduhan-tuduhan yang tidak benar ini saya telah mengarahkan pegawai saya untuk membuat laporan polis dan tindakan akan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang tak kira menteri tak menteri saya akan saman.

"Menuduh saya mencuri itu 'clear cut' saya akan mengambil tindakan undang-undang," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Geran Tanah di daerah Bandar Baharu di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi mengulas dakwaan Saifuddin yang menyatakan beliau dikompaun RM500,000 kerana kesalahan mencuri REE.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata beliau mempunyai dokumen lengkap mengenai kesemua isu berkenaan dan menasihatkan agar Saifuddin tidak mencampuri urusan kementerian lain.

Katanya, beliau sudah menjelaskan isu itu dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tidak pernah terima surat saman atau kompaun.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi menjelaskan baki peruntukan MARRIS yang tidak dibelanjakan sebanyak RM259 juta ada disimpan di dalam simpanan tetap Kerajaan Negeri dan ia dilaporkan dalam penyata kewangan serta diaudit oleh Jabatan Audit Negara.

"Tidak ada langsung salah guna peruntukan seperti yang disebut oleh menteri. Jika ada salah laku sudah tentu perkara ini telah dibangkitkan dalam laporan Ketua Audit Negara.

"Apa yang dibangkitkan oleh Audit Negara adalah baki peruntukan sebelum tahun 2014. Jika hendak dikatakan menyalahi tatakelola pengurusan kewangan, salah laku ini berlaku sebelum tahun 2014 bukan semasa pentadbiran kerajaan saya," katanya.

MUHAMMAD Sanusi Md Nor. FOTO arkib NSTP
MUHAMMAD Sanusi Md Nor. FOTO arkib NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2023 @ 3:19 PM