Gambar hiasan
Gambar hiasan
Melvin Joni


Miri: Seorang pesara lesap RM500,000 selepas diperdaya oleh sindiket pelaburan dalam talian.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata lelaki berusia dalam lingkungan 60-an itu berkenalan dengan seorang wanita bernama Xin Alice Yu berasal dari Australia melalui satu aplikasi pada Mac lalu, sebelum berhubung melalui Whatsapp.

Katanya suspek kemudian mengajak mangsa menyertai pelaburan mata wang digital seperti Bitcoin, Ethereum dan lain-lain.

"Mangsa diajar suspek melalui Whatsapp sebelum mendaftar dan membuka akaun laman sesawang bagi memulakan pelaburan.

"Sepanjang urusan pelaburan itu, mangsa perlu berhubung dengan khidmat pelanggan di laman sesawang berkenaan sebelum memasukkan wang digital ke dalam akaun yang diberikan suspek.

"Mangsa kemudian melakukan 19 transaksi pemindahan wang keseluruhan berjumlah kira-kira RM500,000 ke sembilan akaun yang berbeza antara awal April sehingga awal Julai lalu bagi memasukkan wang digital ke dalam akaun pelaburannya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Azman berkata mangsa hanya menyedari ditipu selepas gagal mengeluarkan wang dari akaun mata wang digital miliknya.

Selain itu, katanya suspek turut mengarahkan mangsa membuat pelbagai bayaran tambahan seperti cukai, pengeluaran dan sebagainya.

Susulan itu, beliau berkata mangsa tampil membuat laporan polis semalam untuk siasatana lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 September 2023 @ 6:08 PM