Gambar hiasan
Gambar hiasan
Melvin Joni


Kuching: Penyelia sumber manusia berputih mata apabila wang hampir RM1 juta yang dilabur untuk mendapatkan keuntungan lesap apabila menjadi mangsa penipuan pelaburan.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, mangsa berusia 40-an sebelum itu menerima WhatsApp daripada nombor tidak dikenali yang memperkenalkan diri sebagai ejen pelaburan Bitcoin pada 18 Julai lalu.

Menurutnya, mangsa kemudian diberikan satu pautan Telegram dan ID untuk memulakan pelaburan dalam sebuah laman sesawang.

Katanya, mangsa seterusnya diminta untuk memasukkan wang bagi tujuan pelaburan, dengan dijanjikan keuntungan antara 20 hingga 50 peratus.

"Mangsa yang terpedaya membuat pindahan wang sebanyak RM980,000 secara berperingkat kepada 34 akaun bank yang berbeza bermula dari pertengahan Julai lalu sehingga pertengahan bulan ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, mangsa menyedari ditipu kerana masih belum memperolehi sebarang keuntungan daripada pelaburan berkenaan sebelum tampil membuat laporan polis, di sini, semalam untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2023 @ 4:53 PM