TERTUDUH (kiri) mengaku tidak bersalah memiliki 25 keping wang RM100 palsu di sebuah rumah di Alor Setar. FOTO Zuliaty Zulkiffli.
TERTUDUH (kiri) mengaku tidak bersalah memiliki 25 keping wang RM100 palsu di sebuah rumah di Alor Setar. FOTO Zuliaty Zulkiffli.
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Kerana gagal membayar ikat jamin RM7,000, lelaki yang didakwa memiliki 25 keping wang RM100 palsu terpaksa dihantar ke Penjara Pokok Sena.

Loh Kher Chun, 30, sebelum itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan di hadapan Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Mengikut pertuduhan, Loh didakwa memiliki 25 keping wang RM100 palsu di rumah di Taman Gunung Perak, Lebuhraya Sultanah Bahiyah di sini, pada 10.30 pagi, 3 September lalu.

Kesemua wang palsu itu memiliki nombor siri berbeza dengan tertuduh didakwa menyedari ia palsu dan berniat menggunakannya sebagai tulen.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tidak lebih 10 tahun, jika disabitkan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurfatin Mastura Asri menawarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 kepada mahkamah, namun Peguam Shaifuddin Mat Sulong daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon jaminan dikurangkan mengambil kira tertuduh baru diberhentikan kerja, selain perlu menanggung isteri dan dua anak.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM7,000 kepada tertuduh dan menetapkan 4 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Bagaimanapun sehingga 5 petang, tertuduh gagal membayar wang jaminan yang menyebabkan dia terpaksa ditahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2023 @ 7:03 PM