Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Pekerja kedai pakaian dihukum penjara 10 bulan kerana memiliki wang palsu bernilai RM1,860 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Hukuman diputuskan Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab selepas tertuduh, Norhayati Talib, 28, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan bersama dengan dua lagi tertuduh.

Bagaimanapun, dua tertuduh itu, Zuhan Khan Mohamed Ali, 53, dan Mohd Kadrie Kamarulzaman, 41, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara Norhayati bermula daripada tarikh ditangkap pada 20 Mac lalu.

Mengikut pertuduhan, wanita itu bersama dua lagi tertuduh didakwa memiliki 18 keping wang kertas palsu RM100 dengan nombor siri AH8860569 dan tiga keping wang kertas RM20 (CR0312132).

Kesalahan dilakukan di bilik nombor 10, sebuah motel di Jalan Batu Ferringhi, pada 4.30 petang, 20 Mac lalu dan mereka didakwa mengikut Seksyen 489 C Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atikah Asharaf Ali manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Cheah Eng Soon.

Mahkamah membenarkan Zuhan Khan dan Mohd Kadrie diikat jamin RM4,000 serta seorang penjamin dan syarat, perlu melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali hingga kes selesai.

Kedua-duanya juga dilarang mengganggu saksi pendakwaan dan 16 Mei ditetapkan untuk sebut semula kes.

Dalam pada itu, Zuhan Khan yang juga pekerja hotel turut didakwa memiliki

lapan keping wang kertas palsu RM100 bernombor siri DQ0520086; enam keping wang palsu RM100 (AH8860569) dan sekeping wang palsu RM20 (CR031232) dalam bilik nombor 4 di motel sama pada tarikh dan masa sama.

ZUHAN KHAN (kanan) dan Mohd Kadrie (dua dari kanan) tidak mengaku bersalah memiliki wang palsu, sementara Norhayati (kiri) dipenjara 10 bulan. FOTO Mikail Ong.
ZUHAN KHAN (kanan) dan Mohd Kadrie (dua dari kanan) tidak mengaku bersalah memiliki wang palsu, sementara Norhayati (kiri) dipenjara 10 bulan. FOTO Mikail Ong.

Sementara, Zuhan Khan juga didakwa menggunakan sekeping wang kertas palsu RM100 sebagai wang tulen di sebuah kedai serbaneka di Batu Ferringhi pada 11.17 malam, 11 Mac lalu.

Kedua-duanya mengaku tidak bersalah dalam prosiding berasingan di hadapan Hakim Hakim Mazdi Abdul Hamid.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Chew Qi Wey manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Kes itu disebut semula 12 Mei depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2023 @ 2:43 PM