GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Lelaki yang ditahan polis berkaitan dadah meninggal dunia ketika proses dokumentasi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Kedah selepas mengadu sakit semalam.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Datuk Seri Azri Ahmad berkata, lelaki berusia 39 tahun itu ditangkap mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Kuala Muda, kedah untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, semasa proses dokumentasi, orang kena tahan (OKT) atau si mati mengadu sakit dan pihak hospital segera dihubungi.

"Pegawai perubatan dari Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah hadir dan mengesahkan kematian.

"Bedah siasat dijalankan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada jam 10 pagi tadi. Ujian pengesanan Covid-19 dibuat ke atas si mati dan berkeputusan negatif," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azri berkata, punca kematian masih belum dapat disahkan (pending laboratory investigations).

"Sementara menunggu keputusan makmal, kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

"Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT), JIPS, Bukit Aman akan meneruskan siasatan dari pelbagai sudut sebelum menyerahkan hasil siasatan kepada koroner," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2023 @ 8:21 PM