GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nor Azizah Mokhtar


Kuala Lumpur: Seorang wanita yang ditahan atas kesalahan dadah meninggal dunia ketika berada dalam tahanan reman pihak polis di Kedah, hari ini.

Pengarah Jabatan Integriti Dan Pematuhan Standard(JIP) Bukit Aman Datuk Seri Azri Ahmad berkata, orang kena tahan (OKT) berusia 34 tahun itu ditahan pada 12 Disember lalu.

Menurutnya, suspek ditahan untuk siasatan polis yang dijalankan mengikutSeksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 sebelum direman di lokap Balai Polis Kuah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi.

"Pada 15 Disember 2023 (semalam), kira-kira 8.05 malam, OKT mengadu tidak sihat dan terus dibawa ke Hospital Sultanah Maliha, Langkawi, Kedah kemudiannya ditahan di wad untuk rawatan lanjut.

"Bagaimanapun, doktor yang merawat mengesahkan kematian OKT terbabit kira-kira 7.30 pagi tadi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, proses bedah siasat akan dijalankan esok di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk mengetahui punca kematian.

"Unit Siasatan Jenayah Dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT), JIPS Bukit Aman akan menjalankan siasatan berkaitan kes itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Disember 2023 @ 10:27 PM