GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis masih menjalankan siasatan lanjut dan mendapatkan pandangan daripada Timbalan Pendakwa Raya berhubung kes kematian seorang orang kena tuduh (OKT) di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, kelmarin.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kematian OKT terbabit.

"Kita juga sedang menunggu pandangan daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

"Buat masa ini dua anggota polis dan dua OKT yang ditahan itu bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Azri berkata, siasatan juga mendapati OKT terbabit juga mempunyai masalah kesihatan.

"Untuk rekod juga, ini adalah kes pertama dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Kematian dalam Tahanan (USJKT) yang ditubuhkan di bawah JIPS pada 1 Januari lalu," katanya.

Harian Metro kelmarin melaporkan polis mengesahkan kematian seorang OKT lelaki berusia 63 tahun di lokap IPD Taiping pada 11 pagi.

OKT itu adalah tahanan tumpang dari Penjara Taiping yang dituduh pada 18 April tahun lalu.

USJKT kini sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu.

Susulan itu, polis menahan dua orang kena tuduh (OKT) dan dua anggota polis bagi membantu siasatan kes.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 January 2022 @ 2:24 PM