Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Mainunah Iskandariah disambut meriah oleh rakyat di sepanjang Jalan Coastal sempena Kembara Kenali Borneo di sini petang ini. FOTO MOHD ADAM ARININ
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Mainunah Iskandariah disambut meriah oleh rakyat di sepanjang Jalan Coastal sempena Kembara Kenali Borneo di sini petang ini. FOTO MOHD ADAM ARININ
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyempurnakan perasmian Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Sabah, hari ini.

Upacara perasmian sejurus ketibaan Seri Paduka di bandar raya ini sempena Kembara Kenali Borneo.

Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah disambut Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar; Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan kepimpinan kerajaan negeri.

Al-Sultan Abdullah kemudiannya berkenan mencemar duli melancarkan gimik perasmian dan menandatangani plak perasmian Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Sabah.

Sebelum ini, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah (JKSNS) beroperasi di bangunan Mahkamah Syariah Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) selepas ditubuhkan pada 1995 dan memasuki gunasama persekutuan pada 18 Jun 2008.

Susulan pertambahan bilangan kakitangan JKSNS dan peningkatan jumlah penduduk umat Islam, fasiliti Mahkamah Syariah tidak mampu menampung jumlah pelanggan yang berurusan dengan jabatan itu.

Kerajaan Persekutuan menerusi Unit Perancangan Ekonomi Jabatan Perdana Menteri kemudian meluluskan pembinaan kompleks mahkamah itu yang berkeluasan 2.023 hektar di Teluk Likas, di sini.

Kerja pembinaan bermula pada 9 November 2017 dengan kos RM58.129 juta, dan siap sepenuhnya pada 22 Julai 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2023 @ 5:47 PM