KOMPLEKS Kehakiman Syariah Negeri Sembilan. FOTO arkib NSTP
KOMPLEKS Kehakiman Syariah Negeri Sembilan. FOTO arkib NSTP
Mohd Amin Jalil


JABATAN Kehakiman Syariah Negeri Sembilan (JKSNS) yang memulakan operasi hari ini, menetapkan hanya kes yang dikategorikan sebagai segera dan mendesak saja boleh difailkan di Mahkamah Syariah untuk memohon pendengaran.

Peraturan itu dibuat selaras dengan kelulusan diberi Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan setiap permohonan perlu mengemukakan Surat Perakuan Segera kepada mahkamah.

Ketua Hakim Syarie Negeri Sembilan, Datuk Abas Nordin berkata, JKSNS mulai beroperasi hari ini hingga 12 Mei dan bagi mengelak kebanjiran orang ramai di mahkamah, pihaknya hanya membenarkan kes mendesak saja difailkan.

Beliau berkata, kes dikategorikan segera atau mendesak termasuk perceraian khususnya pengesahan lafaz cerai selain kes persetujuan bersama yang boleh diselesaikan dalam tempoh singkat atau sehari.

"Kes lain ialah penguatkuasaan perintah nafkah (persetujuan bersama) dan permohonan injunksi serta kes membabitkan tempoh atau had masa seperti keperluan memfailkan notis rayuan.

"Perbicaraan kes dinyatakan itu akan bermula pada 11 Mei 2020 dan dihadkan kepada lima kes saja sehari bagi setiap mahkamah," katanya kepada pemberita di Bilik Mesyuarat Perdana JKSNS, Seremban, hari ini.

Abas berkata, permohonan untuk pemfailan kes hendaklah berpandukan kepada Garis Panduan Perbicaraan Kes-Kes Syariah bagi JKSNS semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Beliau berkata, pengurusan dan perbicaraan kes selepas 12 Mei 2020 akan dibuat selaras dengan arahan semasa kerajaan.

Katanya, operasi perkhidmatan kaunter JKSNS ketika PKPB ditetapkan dari 9 pagi hingga 12 tengah hari, Isnin hingga Jumaat.

Dalam pada itu, semua pelanggan hadir ke mahkamah dikehendaki memakai penutup dan hidung, mengimbas suhu badan di laluan masuk dan memastikan penjarakan sosial dilaksanakan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2020 @ 5:01 PM