Siti Rohana Idris

Tumpat: Selepas 10 hari menjelajah lapan negeri di Semenanjung, peserta kembara solo sempena Hari Kebangsaan ke-66, Halim Hamid, 47, berjaya menamatkan misinya.

Mengakui perjalanan yang mengambil jarak sejauh 2,900 kilometer itu bukan sesuatu yang mudah, Halim bagaimanapun nekad untuk menjayakan misi solonya yang memasuki tahun kesembilan.

Dia yang juga Sukarelawan Simpanan Polis Kelantan dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat dengan pangkat Sarjan berkata, hujan lebat menjadi halangan besar buatnya kali ini.

"Kembara kali ini saya berdepan dengan hujan yang melanda di beberapa tempat iaitu Taiping dan Ipoh di Perak, Seremban (Negeri Sembilan) dan Kuala Lumpur.

"Walaupun memakai baju hujan tapi pandangan sedikit kabur kerana adakalanya hujan terlalu lebat dan jika saya berhenti sementara hujan reda, sudah pasti tergendala jadual perjalanan.

"Risau juga jika berlaku sebarang kejadian tidak diingini termasuk pokok tumbang dan jalan licin tapi Alhamdulillah, semuanya selamat," katanya yang tiba jam 6 petang semalam.

HALIM selamat tiba selepas 10 hari menjelajah lapan negeri di semenanjung  di perkarangan Masjid Al-Ismaili, Bandar Baru Pasir Pekan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
HALIM selamat tiba selepas 10 hari menjelajah lapan negeri di semenanjung di perkarangan Masjid Al-Ismaili, Bandar Baru Pasir Pekan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Dia yang bertolak jam 9 pagi semalam dari Kamunting, Perak tiba di perkarangan Masjid Al-Ismaili, Bandar Baru Pasir Pekan, di sini, dan disambut beberapa rakan untuk sama-sama meraikan kejayaannya menamatkan kembara solo itu.

Selain faktor cuaca, halangan turut dialami apabila motosikal jenis Modenas Elegant 150 yang ditungganginya kerap rosak dan terpaksa dihantar ke bengkel untuk dibaiki.

Katanya, walaupun sudah menghabiskan kira-kira RM1,000 untuk selenggara kenderaan itu sebelum memulakan jelajah, kerosakan tetap berlaku dan Halim akur kerana usia motosikal itu sudah mencecah 17 tahun.

"Tiga kali kerosakan berlaku membabitkan karburator dan minyak hitam dan perlu dibaiki di bengkel menyebabkan perjalanan tergendala.

"Bagaimanapun faktor kesihatan saya agak memuaskan walaupun mengalami cirit-birit selama dua hari tapi ia tidaklah serius dan acara kemuncak iaitu sambutan Hari Kebangsaan dapat saya raikan di Ipoh.

"Sepanjang misi ini, saya mendapat kerjasama sangat baik dari rakan dan kenalan yang sudi berjumpa dan memberi bantuan yang diperlukan termasuk menyediakan penginapan," katanya yang akan meneruskan lagi misi yang sama di masa akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2023 @ 11:35 AM