Siti Rohana Idris

Tumpat: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sedang merangka langkah penyediaan bekalan ikan yang mencukupi susulan ramalan hujan berterusan mulai pertengahan November ini, yang membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) LKIM, Kusuadi Sallih berkata, pihaknya akan menyediakan pusat pengumpulan di beberapa negeri bagi memastikan bekalan ikan mencukupi.

Menurutnya lagi, LKIM juga sedang merangka sebuah Jawatankuasa Penyediaan Bencana Alam bagi menyimpan stok bekalan makanan supaya dapat dibekalkan secara berterusan.

"Pihak kami memang sedang merangka untuk (wujudkan) Jawatankuasa Penyediaan Bencana Alam bagi menyimpan stok bekalan makanan akan sentiasa dapat dibekalkan.

"LKIM ada Q'Fish dan kita akan berusaha membekalkan ikan ini di beberapa kawasan yang dijangka mengalami masalah banjir di seluruh negara.

"Dari segi pusat pengumpulan, pemilihan lokasi akan dibuat berdasarkan maklumat perubahan cuaca dan kita akan utamakan di negeri yang mengalami kesan bencana alam yang tinggi," katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

KUSUADI pada Program Jualan Murah 2022 Keluarga Malaysia DUN Pasir Pekan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
KUSUADI pada Program Jualan Murah 2022 Keluarga Malaysia DUN Pasir Pekan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Media sebelum ini melaporkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan, negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini, yang membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan.

Cuaca yang dialami dijangka memberi impak lebih signifikan kerana Monsun Timur Laut yang aktif pada tempoh itu, di mana risiko berlaku hujan lebat berterusan dan banjir berskala besar adalah tinggi.

Terdahulu, Kusuadi hadir dalam Program Jualan Murah 2022 Keluarga Malaysia (PJMKM) DUN Pasir Pekan yang dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob di Taybah Mart di Kampung Paloh di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebelum ini, program jualan murah itu hanya diadakan dua kali sebulan di 222 kawasan Parlimen tapi kini diperluaskan membabitkan 600 kawasan DUN dan 13 Parlimen di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

"Memandangkan sambutan yang amat baik dan memberi peluang penduduk setempat mendapatkan bekalan barangan keperluan harian dengan harga lebih murah secara berterusan setiap minggu, LKIM dengan kerjasama Pusat Komuniti Daerah (PKD) dan premis melaksanakan program ini setiap minggu pada September.

"Sehingga semalam, sebanyak 22 DUN di Kelantan sudah melaksanakan PJMKM dengan nilai jualan RM1.2 juta dengan bilangan pengunjung 24,335 orang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 September 2022 @ 12:42 PM