Siti Rohana Idris

Tumpat: Penduduk di pinggir Sungai Kelantan di daerah ini dinasihat supaya sentiasa berwaspada terhadap risiko banjir akibat limpahan sungai.

Ketua Polis Daerah Tumpat Superintendan Mohd Azmir Damiri berkata, meskipun ketika ini paras sungai itu masih di tahap waspada berdasarkan bacaan di Tambatan Diraja, Kota Bharu, ia boleh meningkat disebabkan air dari kawasan hulu.

"Tumpat mempunyai dua sungai yang menyumbang kepada situasi banjir iaitu Sungai Golok yang akan menjejaskan lebih 10 kampung di Pengkalan Kubor, manakala Sungai Kelantan pula akan membabitkan sekitar Pasir Pekan serta beberapa kampung di gugusan pulau dalam mukim Kelaboran.

"Pada gelombang pertama sebelum ini, hanya berlaku sedikit kenaikan paras air di Pasir Pekan dan jeti Kok Majid di Kampung Laut, manakala kawasan Pengkalan Kubor pula hanya menerima limpahan akibat fenomena air pasang yang berlaku beberapa kali.

"Situasi masih terkawal, namun saya mengingatkan agar penduduk berwaspada terutama yang berada di kawasan berisiko," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

ABD Halim (tengah) bersama anggotanya meninjau limpahan air Sungai Kelantan di terowong dekat Kampung Pasir Pekan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
ABD Halim (tengah) bersama anggotanya meninjau limpahan air Sungai Kelantan di terowong dekat Kampung Pasir Pekan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.

Mohd Azmir turut menasihati penduduk agar tidak menjadikan banjir sebagai pesta walaupun menganggap sudah biasa dengan situasi berkenaan.

Terdahulu, tinjauan bersama Ketua Balai Polis Wakaf Bharu Sarjan Mejar Abd Halim Shafai mendapati berlaku limpahan air di terowong yang menjadi laluan alternatif penduduk di Kampung Pasir Pekan.

Penduduk, Syukri Mamat, 52, berkata, dia menyedari kawasan itu dinaiki sejak pagi semalam dan didapati meningkat menjelang malam.

"Situasi ini setiap tahun berlaku dan jika hujan lebat berterusan atau air dari kawasan hulu turun, paras air sungai mungkin meningkat lagi dan penduduk sekitar perlu berkemas," katanya.


Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 January 2022 @ 7:04 PM