HALIM menunggang Modenas Kriss untuk melakukan kembara solo bagi menterjemahkan semangat patriotik menjelang Hari Kebangsaan . FOTO ZAMAN HURI ISA
HALIM menunggang Modenas Kriss untuk melakukan kembara solo bagi menterjemahkan semangat patriotik menjelang Hari Kebangsaan . FOTO ZAMAN HURI ISA
Siti Rohana Idris


SEORANG lelaki mengambil pendekatan menunggang motosikal mengelilingi hampir Semenanjung sebagai menterjemahkan semangat patriotik menjelang Hari Kebangsaan.

Sambil menggalas beg, Halim Hamid, 43, menunggang motosikal jenis Modenas Kriss 110 berusia 22 tahun miliknya yang dilekatkan Jalur Gemilang dan bendera Kelantan sebelum memulakan kembara solo sejauh 1,082 kilometer, kira-kira jam 7 pagi ini.

Kembara bermula di kediamannya di Kampung Laut, Tumpat, akan merentasi beberapa negeri iaitu Terengganu, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur dan kembali ke Kelantan.

Halim yang juga kakitangan Hospital Tumpat berkata, kembara solo dilakukannya sudah memasuki tahun ketujuh dan untuk kali ini, lapan hari dijangka masa diambil untuk menamatkan misi patriotiknya.

“Setiap individu ada caranya tersendiri untuk menterjemahkan rasa cintakan negara sempena kemerdekaan dan saya memilih cara ini kerana ia bukan semata-mata kembara tapi akan singgah ke beberapa lokasi yang ada kaitan dengan sejarah negara.

“Segala kos ditanggung sendiri dan kali ini seperti tahun sebelumnya, saya peruntukkan sekitar RM2,000 merangkumi makan, penginapan serta kos selenggara motosikal,” katanya ketika ditemui.

Halim berkata, dari segi permohonan cuti, dia tidak mempunyai masalah kerana ia adalah cuti dikumpulnya sepanjang tahun semata-mata untuk menjalankan misi kembara ini.

Sepanjang lapan hari kembara, Halim akan singgah ke beberapa lokasi bersejarah antaranya Bukit Kepong dan makam lama seterusnya ke Dataran Merdeka untuk sambutan ambang kemerdekaan.

Bercerita mengenai pengalaman dan cabaran kembara solo pada beberapa kali sebelumnya, Halim berkata pelbagai suka duka dialaminya termasuk detik cemas ketika dikejar dua individu dipercayai ingin menyamun.

Menurutnya, ketika itu dia dalam perjalanan dari Jamaluang ke Mersing (Johor) dan jarang kenderaan melalui laluan itu memandangkan ia adalah lebuh raya lama.

“Saya menyedari sebuah motosikal dinaiki dua individu mengekori rapat ke arah saya dalam masa sama terus menarik penutup topi keledar masing-masing menyebabkan saya memecut motosikal.

“Mereka terus mengejar motosikal saya kira-kira 15 minit sebelum saya berjaya melarikan diri. Selain itu pengalaman ‘dihimpit’ treler juga antara paling tidak boleh lupa,” katanya kos selenggaraan motosikalnya mencecah hampir RM1,000.

Beliau yang juga seorang Sukarelawan Simpanan Polis Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kelantan di balai Wakaf Bharu berkata, kembara solo itu hanya dilakukan pada siang hari sahaja dan sebaik menjelang lewat petang, dia akan mula mencari hotel untuk berehat sebelum memulakan kembali perjalanan keesokan harinya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 1:25 PM