MOTOSIKAL yang digunakan suspek. FOTO ihsan polis
MOTOSIKAL yang digunakan suspek. FOTO ihsan polis
Ahmad Hasbi


Seremban: Polis menahan dua lelaki dalam Op Rentap malam tadi selepas disyaki terbabit dalam beberapa kes ragut di daerah ini sepanjang 2023.

Difahamkan, modus operandi suspek adalah dengan mensasarkan penunggang wanita yang menunggang motosikal bersendirian di kawasan sunyi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, Op Rentap dilancarkan susulan beberapa laporan kejadian ragut membabitkan wanita di Seremban.

"Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Seremban menjalankan Op Rentap kira-kira jam 7 malam tadi dan berjaya menahan dua lelaki yang disyaki terbabit dalam kes yang disiasat.

"Suspek menunjukkan barang yang diragut iaitu rantai emas. Polis turut merampas motosikal dan baju digunakan suspek," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nanda berkata, hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek terbabit dalam beberapa kes ragut pada tahun ini.

"Suspek akan bertindak menghimpit motosikal mangsa dan meragut rantai atau gelang tangan yang dipakai mangsa," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek direman sehingga 21 Februari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

"Hukuman pemenjaraan selama tempoh maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2023 @ 11:45 AM