OPERASI memadam kebakaran kapal kargo dijalankan. FOTO Ihsan APMM
OPERASI memadam kebakaran kapal kargo dijalankan. FOTO Ihsan APMM
Ruwaida Md Zain


Pelabuhan Klang: Sebuah kapal kargo dari Korea Selatan, MV KMTC Shenzhen yang dalam perjalanan ke Pelabuhan Klang terbakar, di Perairan Selangor, semalam.

Menurut Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor, kapal terbabit dilaporkan terbakar pada jarak kira-kira enam batu nautika Barat Daya Pintu Gedong di sini.

"APMM menerima maklumat awam pada 6.49 petang semalam yang memaklumkan melihat sebuah kapal terbakar berhampiran Pantai Acheh, Pelabuhan Klang.

"Jadi, Bot PERKASA 35 Maritim Negeri Selangor bersama dua bot tunda dari Westport dan sebuah bot tunda Northport diatur gerak ke lokasi kejadian bagi menilai situasi.

"Pihak kapal melaporkan kebakaran dipercayai berlaku di ruangan kargo dan kebakaran masih berlaku (ketika itu)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, tindakan awal diambil oleh bot tunda Tug Super Tenang, Tug Maju Tenang dan Puteri 19 adalah menggunakan meriam air bagi mengawal api.

"KM Bagan Datuk yang berada di sektor operasi lain turut diatur gerak ke lokasi kejadian.

"MV Polaris dan bot SYahbandar dari Jabatan Laut Malaysia serta sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pelabuhan Klang turut dikerahkan ke tempat kejadian menggunakan aset APMM dan Westport bagi kerja-kerja memadam kebakaran dan menyelamat.

"Setakat laporan diterima, kesemua 18 kru kapal dilapor selamat. Perkembangan berkaitan kejadian ini akan dimaklumkan daripada semasa ke semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2023 @ 12:02 PM