Mangsa yang dikhuatiri hanyut bersama bot, Md Shamsuddin Mohamed Shari. FOTO Ihsan APMM
Mangsa yang dikhuatiri hanyut bersama bot, Md Shamsuddin Mohamed Shari. FOTO Ihsan APMM
Ruwaida Md Zain


Pelabuhan Klang: Seorang ejen kapal dagang warga tempatan dipercayai hanyut selepas bot dinaiki disyaki kehabisan minyak di perairan Pintu Gedung, di sini, Khamis lalu.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, mangsa, Md Shamsuddin Mohamed Shari, 46, dipercayai hanyut bersama bot fiber ketika dalam perjalanan dari Pulau Ketam ke kapal dagang LILA BHAVNAGAR.

"Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan untuk menghantar dokumen serta pasport kru, dipercayai kehabisan minyak kira-kira 6 petang, Khamis.

"Terdahulu, usaha pencarian cuba dilakukan oleh rakan mangsa, namun bot berwarna putih hijau yang dinaiki mangsa tidak ditemui sehingga kini.

"Susulan itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohammad Rosli berkata, operasi yang dikoordinasikan Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru itu diaktifkan jam 12.30 tengah hari semalam dan disambung pada 7 pagi hari ini.

Katanya, Kapal Maritim (KM) Bagan Datuk dan bot Penggalang 10 serta bot RH 10 daripada Pasukan Polis Marin (PPM) diatur gerak dalam operasi itu.
"Sektor pencarian operasi Carilamat hari ini merangkumi keluasan kawasan 85 batu nautika persegi dari Pulau Ketam sehingga ke kawasan Pulau Carey.

"Cuaca di lokasi cerah dengan kelajuan angin antara 30 hingga 40 kilometer sejam dan ombak pada ketinggian 1.5 hingga 2.5 meter, serta ribut petir di beberapa lokasi.

"Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) juga ditubuhkan di Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah. Sehingga kini, APMM masih meneruskan usaha mencari mangsa," katanya.

Beliau berkata, APMM turut meminta orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan di laut menerusi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 dan MERS 999 yang beroperasi 24 jam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Februari 2022 @ 12:12 PM