Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Seorang buruh ladang terlepas hukuman gantung sampai mati selepas mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, atas pertuduhan pilihan menyebabkan kematian suami kepada kekasihnya, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Iwan Razali, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan (KK) dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Dr Lim Hock Leng.

Iwan sebelum ini menghadapi pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 KK yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati mandatori.

Tertuduh diberi pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan setelah surat representasi daripada peguambela diterima dan dipersetujui Jabatan Peguam Negara.

Lim dalam keputusannya menjatuhkan hukuman penjara 16 tahun ke atas tertuduh selepas bersetuju dengan hujahan pihak pendakwaan.

Katanya, walaupun tertuduh mengaku salah, tetapi mahkamah mengambil kira kecederaan dialami mangsa (si mati) yang terlalu banyak iaitu 41 kesan tikaman di seluruh anggota badan selain tangan kiri mangsa putus.

"Oleh itu mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran iaitu penjara selama tempoh 16 tahun dari tarikh tertuduh ditangkap," katanya.

Iwan Razali (tengah) terlepas hukuman mati dipenjara 16 tahun selepas mengaku salah atas pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan, di Mahkamah Tinggi Tawau. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Iwan Razali (tengah) terlepas hukuman mati dipenjara 16 tahun selepas mengaku salah atas pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan, di Mahkamah Tinggi Tawau. FOTO Abdul Rahemang Taiming

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian Amir Mappiase, 35, di rumah bernombor W010, Blok 3, Kampung Murai, Ladang Kretam Kalabakan, di sini, antara 11.30 pagi hingga 12.00 tengah hari pada 4 Mei 2018.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Ali Imran manakala tertuduh diwakili peguam Ram Singh Harban Singh dan Kamaruddin Chinki.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 3:57 PM