Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Barisan Nasional (BN) hari ini mencalonkan beberapa nama besar dan mengekalkan penyandang sedia ada untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung 12 Ogos nanti.

Menerusi pengumuman yang dibuat Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, antara nama yang akan bertanding bagi PRN di Pulau Pinang adalah bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertam.

Selain itu, Timbalan Pengerusi Umno Pulau Pinang, Datuk Dr Shaikh Hussein Mydin pula akan bertanding di Sungai Dua.

Bagi negeri Selangor, antara nama besar yang dicalonkan adalah Pengerusi BN Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin bertanding di Gombak Setia.

Timbalan Pengerusi, Datuk Johan Abdul Aziz pula akan bertanding di Dusun Tua manakala Datuk Rizam Ismail akan mempertahankan kerusinya di Sungai Air Tawar.

Manakala Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz tidak tersenarai sebagai calon bagi mewakili BN di Selangor.

Di Negeri Sembilan, seperti dijangka, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan akan mempertahankan kerusinya di DUN Rantau.

Turut menarik perhatian, BN mencalonkan isteri dan anak kepada bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abd Samad.

Isteri Mohd Isa, Puan Sri Bibi Shaliza Mohd Khalid akan bertanding di DUN Juasseh manakala anaknya, Mohd Najib Mohd Isa di Bagan Pinang.

Di samping itu, Pengerusi Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias pula akan bertanding di Pertang.

Di Kedah, BN mengumumkan Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid akan bertanding di DUN Pedu.

BN turut mengumumkan Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim yang akan bertanding di Jeneri melawan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Di Kelantan, penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kok Lanas, Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad sah tidak dicalonkan dalam PRN kali ini.

Sebaliknya beliau digantikan dengan Ahmad Deraman yang akan bertanding di kawasan itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 12 Ogos sebagai hari pengundian bagi enam PRN.

Enam negeri itu ialah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 29 Julai manakala bagi pengundian awal, tarikh ditetapkan ialah pada 8 Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2023 @ 11:20 PM
Datuk Seri Mohamad Hasan (tengah) bersama calon DUN bagi Negeri Sembilan ketika Majlis Pengumuman Calon Barisan Nasional (BN) Bagi PRN 2023 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Datuk Seri Mohamad Hasan (tengah) bersama calon DUN bagi Negeri Sembilan ketika Majlis Pengumuman Calon Barisan Nasional (BN) Bagi PRN 2023 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM