Mazlan Anak Delen (kanan) dan Wilson Ajin menunjukkan rumah jiran mereka yang teruk terjejas dalam kebakaran di tingkat empat, Blok 66, Flat Taman Ungku Tun Aminah (TUTA), Skudai. FOTO IZZ LAILY HUSSEIN
Mazlan Anak Delen (kanan) dan Wilson Ajin menunjukkan rumah jiran mereka yang teruk terjejas dalam kebakaran di tingkat empat, Blok 66, Flat Taman Ungku Tun Aminah (TUTA), Skudai. FOTO IZZ LAILY HUSSEIN
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: "Saya cuba padamkan kebakaran dengan simbah air guna baldi, tetapi api terlalu besar. Jadi lebih baik selamatkan jiran-jiran dahulu," kata Mazlan Delen, penghuni di tingkat empat, Blok 66, Flat Taman Ungku Tun Aminah (TUTA), Skudai di sini.

Mazlan, 30, ketika ditemui berkata, selepas dia mendengar jeritan orang ramai akibat kebakaran, dia terus berlari membawa air di dalam baldi dari rumahnya untuk membantu memadamkan api.

Bagaimanapun katanya, apabila lihat api yang semakin marak, dia terus meninggalkan baldi itu dan mengetuk setiap pintu rumah di tingkat empat berkenaan meminta jiran-jirannya keluar menyelamatkan diri.

"Saya baharu sahaja tertidur, kemudian saya terdengar orang menjerit minta tolong. Apabila saya buka pintu, saya lihat ada api dari arah kanan rumah saya.

"Walaupun panik, tetapi saya fikir nak bantu padamkan api sebab risau lebih banyak rumah terbakar, apatah lagi rumah kawan saya bersebelahan dengan rumah yang sudah terbakar itu.

"Saya bersyukur kerana semua jiran yang tinggal di tingkat empat ini berjaya turun ke bawah dengan selamat," katanya yang baharu lapan bulan berpindah ke flat itu.

Kira-kira jam 2.55 pagi tadi, lima deretan rumah di tingkat empat, Blok 66, flat berkenaan, terjejas dalam kebakaran, namun tiada mangsa yang cedera atau berlaku kemalangan jiwa dalam kejadian itu.

Dilaporkan, kebakaran membabitkan lima rumah yang mana sebuah rumah terbakar hampir 90 peratus, sebuah lagi 60 peratus, dua rumah terbakar 50 peratus, manakala sebuah lagi rosak akibat 'water damage'.

Sementara itu, seorang mangsa Wilson Ajin, 43, berkata, dia terjaga daripada tidur selepas mendengar suara Mazlan yang memanggil dan menyuruhnya keluar rumah.

"Saya dengar Mazlan ketuk pintu berkali-kali beritahu rumah terbakar. Saya terus bangun dan buka pintu, api betul-betul di sebelah rumah saya. Saya panik dan minta isteri dan anak turun segera.

"Saya cuba selamatkan dokumen penting dan kemudian lari ke bawah kerana bimbang rumah saya akan turut terbakar. Alhamdulillah, polis dan bomba tiba dalam tempoh yang sangat cepat dan kebakaran dapat dikawal," katanya yang sudah enam bulan tinggal di situ.

Wilson berkata, jiran sebelah rumahnya tiada di rumah kerana bekerja di Singapura, manakala di rumah yang paling teruk terbakar, terdapat seorang lelaki dewasa ketika kejadian, namun sempat menyelamatkan diri melalui tingkap di bahagian belakang rumah.

"Dua lagi rumah memang kosong tiada penghuni. Saya bersyukur kerana kebakaran ini tidak mengorbankan penghuni," katanya.

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2023 @ 3:32 PM