Nursyahirah Marzuki


SEORANG wanita berusia 58 tahun berjaya diselamatkan dalam kebakaran satu unit pangsapuri kuarters penjawat awam di Presint 16, Putrajaya, kira-kira 9 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner Rosly Hasan berkata, wanita terbabit, Nik Asiah Nik Yaacob, ibu saudara kepada pemilik kuarters berkenaan diselamatkan jiran hadapan rumah yang menyedari kebakaran itu.

Katanya, ketika kejadian Nik Asiah tinggal bersendirian, manakala empat lagi penghuni iaitu pembantu akauntan di Jabatan Akauntan Negara, Saufi Mat Hassan, 37 tahun, isteri dan dua anaknya ke pusat beli belah berdekatan sejak 6.30 petang.

"Ketika kejadian, Nik Asiah memaklumkan berada di bilik ketiga rumah di tingkat empat dan selepas selesai solat Isyak dia memadamkan lampu untuk tidur sebelum terbau asap.

"Apabila dia membuka semua lampu dan pintu bilik didapati asap memenuhi ruang rumah dan dia kemudian diselamatkan jiran hadapan rumah yang menyedari berlaku kebakaran.

"Menurut saksi bebas di sekitar perumahan itu terdapat tiga letupan turut berlaku ketika kejadian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rosly berkata, menurut saksi Farhan Bazli, 23 yang juga anak jiran hadapan rumah, ketika kejadian dia menonton televisyen dan sebaik keluar didapati bau asap dari rumah mangsa.

Anggota bomba memadam kebakaran di dalam bilik yang terbakar. Foto ihsan bomba
Anggota bomba memadam kebakaran di dalam bilik yang terbakar. Foto ihsan bomba

Menurutnya, Farhan cuba menendang pintu, tetapi mangsa membuka pintu selepas mendengar ketukan dan dia berjaya dapat diselamatkan.

"Temubual dengan pegawai bomba menyatakan api berpunca dari bilik tidur utama namun punca sebenar kejadian belum diketahui.

"Bilik tidur utama terbakar 100 peratus menyebabkan dokumen penting bersama barang kemas terbakar, namun jumlah kerugian belum dapat dipastikan," katanya.

Rosly berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan keluarga kini ditempatkan sementara di rumah komuniti di aras bawah apartmen berkenaan.

Difahamkan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim akan melawat lokasi dan mangsa kebakaran 12 tengah hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, satu unit pangsapuri kuarters penjawat awam di Presint 16, terbakar dan pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu 9.15 malam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Putrajaya, Che Shaari Abdullah dipetik berkata, seramai 23 pegawai dan anggota bersama empat kenderaan bomba tiba di lokasi kejadian 10 minit kemudian.

Sebaik tiba di lokasi, didapati bilik tidur utama di unit pangsapuri yang berada di tingkat empat itu terbakar dan kerja pemadaman api dilakukan menggunakan dua saluran hos air iaitu satu saluran ke dalam bangunan, manakala satu lagi pancutan dari luar.

Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya 9.35 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2018 @ 11:46 AM