MOHAMED Noor dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.
MOHAMED Noor dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Ahli perniagaan dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini daripada pertuduhan menyalahgunakan wang RM10,000 milik sebuah syarikat minyak dan gas bagi membuat pembayaran bil kad kreditnya, lima tahun lalu.

Hakim Datin Sabariah Othman membebaskan Mohamed Noor Mohamed Amin, 50, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

"Selepas mendengar keterangan semua saksi pendakwaan dan dokumen yang dikemukakan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membawa satu keterangan kukuh untuk membuktikan wang RM10,000 ini adalah milik syarikat FMG Synergy Sdn Bhd.

"Oleh itu, tiada bukti menunjukkan wang milik syarikat disalahgunakan oleh tertuduh.

"Mahkamah dengan ini memutuskan tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri daripada pertuduhan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan," katanya hari ini.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menyalahgunakan wang RM10,000 milik syarikat FMG Synergy Sdn Bhd dengan menyebabkan wang itu dikeluarkan dari akaun bank milik syarikat Berkat Hasrat Petroleum Marketing Sdn Bhd (milik tertuduh) untuk membayar bil-bil kad kredit persendiriannya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Ipoh, Dang Wangi di sini pada 19 September 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shakira Aliana Alias manakala peguam Nurul Huda Razali mewakili Mohamed Noor.

Seramai tujuh saksi pendakwaan dikemukakan untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes bermula 23 November 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2023 @ 1:09 PM