KETUA Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Dr Zulkapli Mohamed. FOTO Bernama
KETUA Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Dr Zulkapli Mohamed. FOTO Bernama
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Serangan peribadi dipercayai motif di sebalik penyebaran berita palsu berhubung dakwaan kononnya Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Dr Zulkapli Mohamed sedang disiasat pihak berkuasa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, setakat ini 10 saksi sudah dirakam keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

"Kenyataan palsu berkenaan menjurus kepada serangan peribadi. Pada 21 Ogos, akaun media sosial palsu bernama Harapan Malaysia menyebarkan tohmahan ini.

"Kami juga terkesan satu lagi hantaran di Facebook bernama Sahabat Anwar Ibrahim. Setakat ini kita masih menyiasat untuk kenal pasti pemilik akaun palsu berkenaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sini hari ini.

Sementara beliau berkata, pihaknya menyiasat sebuah akaun Facebook bernama Flat Earth Malaysia yang berkongsi video video mendakwa kehadiran Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Johor disambut dengan meriah.

Beliau berkata, siasatan membabitkan komen pemilik akaun berkenaan yang menyentuh Institusi Diraja Negeri Johor dalam hantaran terbabit baru-baru ini.

"Komen yang dibuat (pemilik akaun itu) seolah-olah membabitkan Institusi Diraja di Johor.

"Susulan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2023 @ 6:29 PM