ISMAIL Sabri (depan, empat kanan) diiringi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (tiga kanan) melawat pameran Maha. FOTO Hairul Anuar Rahim
ISMAIL Sabri (depan, empat kanan) diiringi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (tiga kanan) melawat pameran Maha. FOTO Hairul Anuar Rahim
Amir Abd Hamid

Serdang: Kerajaan sudah meminta Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali menubuhkan jawatankuasa khas di peringkat dalaman untuk menyelesaikan isu Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah didakwa melemparkan kata-kata kasar terhadap pegawai Jabatan Imigresen (JIM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Rabu lalu.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, diharapkan penubuhan jawatankuasa itu disegerakan untuk siasatan serta penyelesaian adil bagi yang terbabit.

"Kita kena berlaku adil kepada semua pihak (termasuk) yang mengadu, yang diadu. Kita serahkan kepada satu jawatankuasa yang akan ditentukan oleh KSN siapa jadi pengerusi, siapa jawatankuasa dan sebagainya untuk membuat siasatan secara dalaman.

"Ahli jawatankuasa itu mungkin daripada luar. Ada yang mencadangkan Peguam Negara sebagai pengerusi. Itu saya serahkan kepada KSN dan saya harap penubuhan jawatankuasa itu disegerakan... jangan terlalu lama," katanya ketika pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro-Pelancongan Malaysia (Maha) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), Selangor, di sini, hari ini.

Ditanya berapa lama dijangka tempoh menyiasat isu itu, beliau mengulangi ia diserahkan kepada jawatankuasa untuk melakukan siasatan.

"Bukan susah sangat sebab ada video. Saya tengok ada video yang diedarkan. Mereka (jawatankuasa) perlu memanggil saksi, kedua-dua belah pihak dan mereka akan buat keputusan.

"Kita bincang, tak mahu timbul ada perpecahan dalam kakitangan kerajaan. Suasana harmoni dalam kerajaan perlu dikekalkan," katanya.

Terdahulu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan khususnya Perdana Menteri dan KSN campur tangan dalam isu itu.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Ogos 2022 @ 2:27 PM