FATIMAH mendekati gelandangan pada operasi bersepadu sekitar Kuching malam tadi. FOTO Mohd Roji Kawi.
FATIMAH mendekati gelandangan pada operasi bersepadu sekitar Kuching malam tadi. FOTO Mohd Roji Kawi.
Mohd Roji Kawi


Kuching: Gelandangan yang menghadapi masalah mental perlu disahkan pulih sepenuhnya sebelum kembali menjalani kehidupan bermasyarakat.

Justeru, kerajaan Sarawak membina pusat transit 'halfway home' yang akan menjaga dan memantau golongan itu selepas mereka discaj daripada hospital mental.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, biasanya gelandangan yang menghadapi masalah mental akan dihantar ke hospital selepas mereka diselamatkan pihak berkuasa.

Bagaimanapun katanya, terdapat kes mereka kembali menjadi gelandangan kerana tiada pemantauan dan penjagaan selepas dirawat.

"Selepas dibenarkan keluar hospital, mereka dibekalkan dengan ubat yang wajib diambil bagi memastikan mereka kekal pulih.

"Tetapi apa yang berlaku, jika tiada pemantauan, biasanya mereka lupa makan ubat dan ini akan membuatkan mereka kembali semula hidup di jalanan menjadi gelandangan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengetuai Operasi Bersepadu Cerapan Gelandangan di sekitar bandar raya ini, malam tadi.

Fatimah berkata, kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan sebanyak RM1.5 juta bagi membina pusat transit 'halfway home' itu dengan RM750,000 sudah diagihkan bagi melaksanakan kerja-kerja awal membina pusat berkenaan, manakala RM750,000 lagi akan diagihkan tahun depan.

Sementara itu, beliau berkata, sebuah tempat transit gelandangan (TTG) akan dibina di Kuching bagi menempatkan golongan itu yang diselamatkan pihak berkuasa.

Katanya, ketika ini sebuah TTG sudah beroperasi iaitu di Sibu, manakala TTG Bintulu dalam pembinaan yang dijadualkan siap pada April 2025 sementara TTG Miri yang diubah suai akan siap pada April tahun depan.

"TTG Sibu yang beroperasi sejak Disember 2021 sudah menerima 97 gelandangan iaitu 74 lelaki dan 23 perempuan, namun kini hanya 14 orang yang masih berada di TTG itu iaitu lapan lelaki dan enam perempuan.

"Antara kes menarik yang dikendalikan di TTG Sibu adalah seorang wanita dan tiga anaknya yang diselamatkan dari hutan di Sibu Jaya dengan seorang anak perempuannya yang berumur 10 tahun tidak pernah ke sekolah.

"Selepas diselamatkan dan ditempatkan di TTG, kini kanak-kanak itu sudah bersekolah, bermula dengan pembelajaran alternatif yang disediakan oleh Pertubuhan Destiny for Children di Sibu," katanya.

Menurutnya lagi, dalam tempoh Januari hingga Julai tahun ini, 93 gelandangan iaitu 69 lelaki dan 24 perempuan diselamatkan menerusi 31 operasi bersepadu di Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2023 @ 8:16 AM