KAPAL tangki yang ditahan. FOTO ihsan APMM.
KAPAL tangki yang ditahan. FOTO ihsan APMM.
Nurul Amanina Suhaini

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tanjung Sedili menahan sebuah kapal tangki di perairan Tanjung Lompat, Kota Tinggi, semalam, kerana berlabuh tanpa kebenaran.

Pemangku Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Tanjung Sedili Leftenan Komander Maritim Muhammad Padzly Pasrial berkata, kapal tangki itu ditahan pada kedudukan 9.1 batu nautika timur Tanjung Lompat pada jam 12 tengah hari.

“Penahanan dilakukan bot peronda yang melakukan rondaan di sekitar perairan Pengerang. Pemeriksaan mendapati kapal itu gagal mempamerkan sebarang dokumen kebenaran bersauh dari Pengarah Laut Malaysia.

“Kapal tangki yang berdaftar di Ulaanbaatar, Mongolia, itu dikendalikan sembilan kru termasuk nakhoda berusia antara 23 hingga 53 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, tujuh daripada sembilan yang ditahan adalah warga Indonesia manakala selebihnya masing-masing warga Myanmar dan Sri Lanka.

Katanya, kes disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 Seksyen 491B(l) iaitu bersauh tanpa kebenaran.

“Jika didapati bersalah boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

“Dua kru kapal tangki warga Indonesia sudah dibawa ke pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Menurutnya, pemilik dinasihatkan memohon kebenaran bersauh daripada Jabatan Laut Malaysia dan Lembaga Pelabuhan Johor sebelum berlabuh atau berdepan tindakan tegas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2019 @ 4:07 PM