Foto fail
Foto fail
Muhamad Lokman Khairi


Ipoh: Jumlah mangsa banjir di Perak mencatatkan penurunan petang ini apabila 250 orang daripada 72 keluarga ditempatkan di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah.

Ia berbanding 529 orang daripada 163 keluarga di 10 PPS jam 8 pagi.

Laporan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Perak setakat jam 4 petang menunjukkan, Larut, Matang dan Selama (LMS) adalah daerah paling terjejas dengan merekodkan 164 mangsa (52 keluarga) ditempatkan di lima PPS.

Daripada jumlah itu, seramai 53 mangsa (16 keluarga) berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Matang Gelugor.

Selain itu, 35 orang (10 keluarga) ditempatkan di PPS SK Matang dan 34 mangsa (10 keluarga) dipindahkan ke PPS Dewan Orang Ramai Sungai Baru Trong.

PPS SK Temerlok menempatkan 30 mangsa (14 keluarga), manakala PPS Dewan Orang Ramai Batu Hampar Trong menempatkan 12 mangsa (dua keluarga).

Turut terjejas adalah daerah Kuala Kangsar yang membabitkan 40 mangsa (lapan keluarga) dipindahkan ke PPS Dewan Orang Ramai Kampung Talang Masjid.

Tiga PPS yang dibuka sebelum ini di Kuala Kangsar iaitu PPS SK Periang, PPS SK Temong dan PPS SK Clifford ditutup secara rasmi pada tengah hari.

Di daerah Hilir Perak, semua 46 mangsa (12 keluarga) berlindung di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak.

Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak melaporkan semua sungai di negeri itu berada pada paras normal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 5:14 PM