LIM Guan Eng. FOTO arkib NSTP
LIM Guan Eng. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Putrajaya: Mahkamah Rayuan hari ini memerintahkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng membayar ganti rugi am RM250,000 kepada bekas Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim kerana memfitnah berhubung pembinaan projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Azizah Nawawi, Datuk Seri Mariana Yahya dan Datuk Azimah Omar yang membenarkan rayuan Abdul Azeez turut memerintahkan Lim selaku responden membayar kos RM70,000 kepada Abdul Azeez.

Hakim Azimah ketika membacakan keputusan itu berkata, mahkamah rendah telah terkhilaf menolak saman Abdul Azeez terhadap Lim dan membenarkan pembelaan Lim bagi justifikasi, komen yang adil dan keistimewaan yang layak berhubung kenyataannya berkaitan Abdul Azeez.

Abdul Azeez merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 11 Dis 2020 yang menolak saman fitnahnya terhadap Lim.

Abdul Azeez telah memfailkan saman itu pada Mac 2018, mendakwa Guan Eng telah mengeluarkan kenyataan fitnah semasa sidang akhbar di pejabat Ketua Menteri pada 28 Feb 2018 dan semasa rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang pada hari sama yang mengaitkan beliau dengan pembayaran sebanyak RM3 juta sebagai yuran perundingan oleh pemaju projek terowong dasar laut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2023 @ 12:49 PM