KEBAKARAN kilang pembuatan tilam di Kampung Baru Sungai Buloh, Sungai Buloh, semalam, berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh bomba, hari ini. FOTO Ihsan Bomba
KEBAKARAN kilang pembuatan tilam di Kampung Baru Sungai Buloh, Sungai Buloh, semalam, berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh bomba, hari ini. FOTO Ihsan Bomba
Nurul Hidayah Bahaudin


Sungai Buloh: Bomba mengambil masa kira-kira 13 jam untuk memadamkan kebakaran enam kilang pembuatan tilam di Kampung Baru Sungai Buloh, di sini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata, kebakaran bermula kira-kira 4 petang semalam itu berjaya dipadam sepenuhnya 6.05 pagi tadi.

"Sepasukan anggota bomba bersama 12 jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh, BBP Selayang, BBP Damansara, BBP Rawang, BBP Seksyen 7, BBP Puchong dan BBP TTDI dari Kuala Lumpur dikejarkan ke lokasi kejadian, dan tiba jam 5 petang.

"Kebakaran yang tidak membabitkan mangsa itu berjaya dikawal 6.05 petang.

"Api berjaya dipadam sepenuhnya jam 6.05 pagi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan kilang pembuatan perabot di Kampung Baru Sungai Buloh di sini, musnah dalam kebakaran, semalam.

Wan Md Razali dilapor berkata, 11 jentera dari BBP Sungai Buloh, BBP Selayang, BBP Damansara serta BBP Rawang dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan jam 4.48 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2023 @ 8:51 AM