Anggota bomba memadam kebakaran lima buah kilang kelas B  di Jalan Industri 5, Kampung Baru Sungai Buloh, di sini, hari ini. FOTO IHSAN BOMBA
Anggota bomba memadam kebakaran lima buah kilang kelas B di Jalan Industri 5, Kampung Baru Sungai Buloh, di sini, hari ini. FOTO IHSAN BOMBA
Muhaamad Hafis Nawawi


Sungai Buloh: Lima kilang musnah dalam kebakaran di Jalan Industri 5, Kampung Baru Sungai Buloh, di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kebakaran itu pada 5.38 petang.

Menurutnya, seramai 54 pegawai dan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh, BBP Damansara, BBP Rawang, BBP Selayang, BBP Batu Arang, BBP Sungai Pinang dan BBP Shah Alam dikejarkan ke lokasi.

"Sebaik tiba, didapati kebakaran membabitkan lima kilang kelas B, dengan api marak menyebabkan kemusnahan 80 peratus.

"Usaha memadamkan kebakaran dijalankan sebelum api berjaya dikawal pada 7.40 malam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Muklis berkata, tiada mangsa yang terbabit dalam kejadian itu dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2024 @ 8:42 PM