Datuk Rahmad Mariman. FOTO Amir Mamat
Datuk Rahmad Mariman. FOTO Amir Mamat
Amir Mamat


Melaka: Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) melakukan pemantauan terhadap saki baki pengikut ajaran SiHulk bagi mengelak terus disebarkan di negeri ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, pemantauan juga dilakukan bagi mengelakkan pengikut terbabit mengamalkan fahaman yang disahkan menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.

Katanya, terdapat beberapa pengikut ajaran berkenaan yang masih berada di negeri ini selepas mereka dikatakan gagal untuk ke luar negara bagi menemui ketua kumpulan berkenaan.

"Tindakan awal kita dah lakukan dengan menahan beberapa pengikut SiHulk yang dipercayai aktif mengamalkan ajaran berkenaan. Kami turut mendapatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Polis Antarabangsa (Interpol) bagi mengesan ketua kumpulan ajaran itu yang dipercayai berada di luar negara.

"Setakat ini kita hanya memantau beberapa lagi ahli kumpulan itu yang masih berada di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan sumbangan penajaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) kepada pasukan hoki Sekolah Sukan Negeri (SSN) sempena Kejohanan TNB Liga Hoki Remaja Malaysia (MJHL) 2023 di SMK Seri Kota, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengurus Besar TNB Melaka Khairizam Ibrahim dan Pengetua SMK Seri Kota, Abdul Ghaffar Bakar.

Pertengahan bulan lalu, hasrat lelaki lelaki berusia 39 tahun disyaki pengikut ajaran sesat SiHulk untuk bergabung dengan pengasasnya di New Zealand tidak kesampaian apabila ditahan bersama isteri dan tiga anaknya oleh Jaim di rumahnya di Jasin.

Majlis Fatwa Melaka pada 30 Mei lalu mengeluarkan kenyataan bahawa fahaman diasaskan Suhaini Mohamad adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam berasaskan akidah Ahli Sunnah wal Jamaah.

Selain Melaka, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor turut memutuskan fahaman serta ajaran SiHulk adalah sesat, menyeleweng dan bertentangan dengan akidah, syariah serta akhlak Islam sejak Julai 2021.

Kelmarin, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak memutuskan fahaman serta ajaran itu adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam menurut akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah.

Baru-baru ini, Mufti Melaka Datuk Abdul Halim Tawil mendedahkan golongan remaja antara dikesan terjebak dengan ajaran sesat SiHulk yang dipercayai masih aktif di beberapa lokasi di Merlimau, Jasin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Julai 2023 @ 3:28 PM