LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sudah diarahkan untuk bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk membanteras ajaran sesat seperti yang tular di media sosial sejak kelmarin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai dua video tular yang memaparkan beberapa individu mengeluarkan kenyataan dan ungkapan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Menurutnya, individu dalam video berkenaan dipercayai pengikut ajaran yang dibawa oleh Suhaini Mohammad (Sohai Ibnu Muhammad) atau SiHulk dan menyokong fahaman yang dibawa pihak berkenaan.

"Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-117 yang bersidang pada 25 hingga 29 Ogos 2020 sudah memutuskan ajaran dan fahaman SiHulk sebagai sesat, menyeleweng daripada ajaran Islam berdasarkan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Seperti yang sedia maklum, tindakan penguatkuasaan adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), jadi Jakim sudah menyalurkan maklumat mengenai ajaran dan kegiatan kumpulan SiHulk kepada pihak JAIN antaranya Jabatan Agama Islam Melaka dan Jabatan Agama Islam Selangor untuk tindakan penguatkuasaan," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Mohd Na'im berkata, mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kumpulan ajaran sesat berkenaan diminta segera tampil membuat laporan kepada pihak polis, SKMM dan JAIN untuk tindakan lanjut.

Katanya, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menasihati supaya umat Islam tidak terbabit dan menjauhi daripada penyebaran ajaran sesat berkenaan.

"Mana-mana orang yang didapati terbabit dalam kesalahan yang berhubungan dengan kesucian agama Islam seperti penyebaran ajaran sesat boleh dikenakan tindakan mengikut Akta atau Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri-Negeri.

"Jakim diarah untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa agama negeri dan agensi berkaitan bagi mengadakan siri penerangan di seluruh negara berkaitan bahaya amalan dan kepercayaan yang bertentangan dengan akidah kepada masyarakat.

"Kerjasama semua pihak dalam isu seperti ini dapat membantu menanganinya dengan lebih berkesan. Seterusnya dapat menjaga akidah umat Islam dari terpesong terutamanya kesan daripada tularnya fahaman yang menyeleweng melalui media sosial," katanya.

Sejak kelmarin tular di media sosial, video menunjukkan sebuah keluarga yang dipercayai pengikut ajaran sesat SiHulk membuat pengakuan mengakui Nabi Muhammad SAW sebagai tuhan.

Kesemua daripada mereka memperkenalkan diri masing-masing sebelum membuat pengakuan bahawa perkara yang mereka katakan adalah benar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2023 @ 3:09 PM