Oleh Muhaamad Hafis Nawawi dan Muhammad Saufi Hassan dan Nurul Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Dianggarkan 150 pengikut ajaran sesat, SiHulk kini berada di New Zealand bersama-sama dengan ketua ajaran itu, Suhaini Muhammad.

Sumber keselamatan bagaimanapun memaklumkan, jumlah sebenar pengikut ajaran itu yang masih berada di negara ini tidak diketahui.

"Ketua ajaran berkenaan iaitu Suhaini pernah didakwa mengikut Seksyen 298 Akta SPRM, tetapi dilepaskan.

"Ajaran ini sememangnya dalam pemantauan pihak berkuasa dan tindakan susulan akan diambil jika didapati mereka meneruskan kegiatan mempromosikan ajaran terpesong berkenaan," katanya.

Sementara itu, pakar deradikalisasi, Dr Zamihan Mat Zin berkata, ajaran itu perlu dilaporkan kepada pihak berkuasa khususnya Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) supaya tindakan lanjut dapat diambil.

Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) berkata, ajaran berkenaan sudah terlalu menyimpang daripada landasan sebenar agama.

"Perlu ada pakar akidah yang dilantik pihak berkuasa agama negeri supaya pengikut serta ketua ajaran SiHulk ini boleh dipulihkan secara akidah.

"Pihak berkuasa juga perlu cakna dengan perkembangan ajaran ini supaya mengekang sebarang bentuk dakyah songsang," katanya.

Antara penyelewengan ajaran sesat itu ialah mendakwa Nabi Muhammad SAW sebagai Tuhan.

Selain itu, mereka mendakwa Nabi Muhammad SAW tidak mempunyai jantina, menafsir sendiri sebuah hadis dengan menyatakan baginda tiada kemaluan dan sebagainya.

Terkini, ajaran itu giat menggunakan platform media sosial untuk menyebarkan fahaman mereka dengan pengakuan daripada beberapa individu dipercayai pengikut ajaran itu bahawa Nabi Muhammad SAW adalah Tuhan.

Ajaran sesat yang diasaskan oleh Suhaini yang kini dipercayai berada di New Zealand namun masih giat mempromosikan dakyah kumpulan berkenaan.

Pernah jual air penawar Covid-19 sebelum mula ajaran sesat

Sebelum penyebaran fahaman sesat, SiHulk dikatakan bermula dengan produk minuman kesihatan 'air ajaib' yang didakwa mampu merawat penyakit kronik dan Covid-19.

Si Hulk atau singkatan kepada Society of Islamic Holisticism Universal Linkage Knowledge pada mulanya dikatakan beroperasi sebagai perniagaan air minuman yang dicampur madu oleh pengasasnya dan dijual pada harga RM70 sekotak.

Dalam satu hantaran di Facebook Public Health Malaysia, ia turut memaklumkan air berkenaan menjadi perhatian masyarakat apabila ia didakwa mampu merawat penyakit kronik termasuk kanser, tibi, penyakit jantung dan buah pinggang.

Malah, ia juga dipromosikan sebagai penawar Covid-19 pada 2021 sehingga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan kenyataan amaran terhadap produk berkenaan.

Pada Khamis lalu, media melaporkan status terkini kilang air SiHulk yang berada di Johor, Selangor dan Indonesia sudah ditutup selepas sijil halal mereka ditarik semula kerana tidak mematuhi piawaian ditetapkan pada 3 Jun 2021.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor Mohd Fared Mohd Khalid yang turut meminta sekiranya produk itu masih berada dalam pasaran, pemilik premis diminta untuk menghentikan jualannya kerana ia menyokong aktiviti ajaran sesat terbabit.

Sementara itu, semakan dalam ruang komen di halaman (page) berkenaan menerima pelbagai reaksi netizen berhubung penjualan air itu yang dikaitkan sebagai permulaan kepada ajaran terbabit.

Seorang pengguna Facebook (FB) bernama Sis Khaira berkata, dia berpandangan pihak berkenaan mewujudkan fahaman itu untuk mencari untung dalam perniagaan.

"Bila ada yang terpedaya (dengan) ajaran dan fahamannya, maka dari situ mereka ambil kesempatan untuk menjual produk berkenaan pada pengikutnya. Itu cara mudah strategi mereka untuk kaut keuntungan," tulisnya.

Pengguna FB, Nazrul Shahmir menulis pihak berkenaan mendakwa produk jualan pihak berkenaan didakwa boleh menyembuhkan penyakit dan ada yang mempercayainya.

"Puak ini sebelum keluarkan ajaran sesat lagi depa (mereka) ni dah start mengarut. Pelbagai Pseudosains dan fahaman mengarut depa sebar untuk jual produk. Dulu-dulu depa jual baju dan topi tapi over claim macam-macam.

"Baju dan topi (harga) sampai beratus-ratus depa jual kononnya boleh rawat pelbagai penyakit. Teknik gelombanglah, teknik warnalah, dijahit mengikut tarikh tertentu berdasarkan ilmu falak lah. Ada jugak yang percaya.

"Lepas itu waktu PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan covid, depa claim pula air Si Hulk depa boleh sembuhkan penyakit covid. Tak lama lepas itu founder (pengasas) depa keluarkan ajaran sesat pula," tulisnya.

Beberapa hari lalu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sudah diarahkan bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk membanteras ajaran sesat itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dilaporkan berkata, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-117 yang bersidang pada 25 hingga 29 Ogos 2020 sudah memutuskan ajaran dan fahaman SiHulk sebagai sesat, menyeleweng daripada ajaran Islam berdasarkan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Sejak beberapa hari lalu tular di media sosial, video memaparkan sebuah keluarga dipercayai pengikut ajaran sesat SiHulk membuat pengakuan mengakui Nabi Muhammad SAW sebagai tuhan.

Kesemua daripada mereka memperkenalkan diri masing-masing sebelum membuat pengakuan bahawa perkara yang mereka katakan adalah benar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2023 @ 7:01 AM