KENDERAAN dipandu warga emas yang maut dalam kemalangan di Jalan Klang Lama, Petaling Jaya, hari ini.
KENDERAAN dipandu warga emas yang maut dalam kemalangan di Jalan Klang Lama, Petaling Jaya, hari ini.
Nurul Hidayah Bahaudin


Petaling Jaya: Lelaki warga emas maut selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya melanggar tiang lampu di Jalan Klang Lama, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada 2.10 pagi.

"Siasatan awal dilakukan mendapati kemalangan itu berlaku berhampiran sebuah kilang di sini, pada 12.10 tengah malam.

"Kenderaan jenis Mitsubishi Triton dipandu mangsa berusia 66 tahun itu dipercayai hilang kawalan lalu melanggar tiang lampu di tepi jalan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, mangsa dilaporkan meninggal dunia ketika dirawat di hospital berhampiran.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang melihat atau berada di lokasi kejadian menghubungi pegawai penyiasat trafik Inspektor A Navalan di talian 014-2536820 bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2023 @ 12:44 PM