LOKASI kejadian wanita warga emas yang dipercayai dilanggar lari. FOTO Ihsan Polis
LOKASI kejadian wanita warga emas yang dipercayai dilanggar lari. FOTO Ihsan Polis
Raja Noraina Raja Rahim


Petaling Jaya: Warga emas maut selepas dipercayai dilanggar lari oleh sebuah kenderaan di Seksyen 17/21 di sini, semalam.

Wanita berusia 89 tahun terbabit disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, polis menerima laporan kejadian jam 10.59 pagi.

"Siasatan mendapati kemalangan berlaku jam 6.30 pagi hari sama. Mangsa dipercayai dilanggar oleh sebuah kenderaan jenis tidak pasti.

"Pejalan kaki itu meninggal dunia semasa menerima rawatan di hospital," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian dan sebab kematiannya.

Justeru, beliau meminta individu yang melihat atau berada di tempat kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor R Navalan di talian 014-2536820 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2022 @ 1:40 PM