Ayisy Yusof

SEPANG: Kerajaan menarik keluar dua laluan di bawah perjanjian Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) iaitu Kota Kinabalu-Sibu dan Kota Kinabalu-Bintulu dan akan dikendalikan oleh AirAsia Group Bhd (AirAsia) bermula Januari 2019.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kabinet baru-baru ini meluluskan operasi penerbangan komersial AirAsia bagi kedua-dua laluan berkenaan dan akan memberi pampasan kepada MASwings Sdn Bhd (MASwings) susulan operasi baru oleh AirAsia.

Katanya, kelulusan Kabinet itu menyaksikan penamatan kontrak pengendali pada masa ini iaitu MASwings yang sepatutnya berakhir menjelang 2024.

“Kerajaan menarik keluar dua laluan ini daripada perjanjian RAS dan membenarkan syarikat penerbangan komersial untuk mengendalikannya. Kedua-dua laluan ini adalah laluan dengan permintaan yang tinggi dan dianggap sebagai bukan lagi kawasan luar bandar,” katanya pada majlis pengumuman khas AirAsia di sini, semalam.

Loke berkata, kerajaan juga secara beransur-ansur menyasar untuk mengurangkan subsidi RAS untuk mengekalkan perkhidmatan penerbangan ke kawasan luar bandar.

“Harga siling bagi subsidi RAS dijangka menurun bermula awal 2020 berikutan perbelanjaan operasi MASwings yang berkurangan di laluan berkenaan,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan mengkomersialkan laluan di bawah rangka kerja RAS termasuk dari Kota Kinabalu-Tawau, Kota Kinabalu-Sandakan, Kota Kinabalu-Miri, Kuching-Sibu, Kuching-Bintulu dan Kuching-Miri.

“Kami berharap inisiatif ini akan mengurangkan subsidi kerajaan dan dalam masa sama mengurangkan harga tiket penerbangan dan menambah lebih banyak kapasiti penerbangan komersial bagi dua laluan baharu ini,” katanya.

Loke berkata, laluan Kota Kinabalu-Sibu dan Kota Kinabalu-Bintulu adalah antara lebih 30 laluan RAS di Sabah dan Sarawak yang dikendalikan MASwings dengan subsidi kerajaan kerana persekitarannya yang tidak komersial.

“Kini, AirAsia dan MASwings boleh sama-sama bersaing secara sihat (tiada subsidi),” katanya.

Loke berkata, Perjanjian Operasi baru antara kerajaan dan AirAsia akan dimeterai menjelang akhir tahun ini untuk memuktamadkan perjanjian berkenaan dan ia akan turut merangkumi jumlah pampasan bagi MASwings.

Beliau berkata, AirAsia akan mempunyai kontrak enam tahun berakhir 2024 untuk mengendalikan laluan Kota Kinabalu-Sibu dan Kota Kinabalu-Bintulu.

Sementara itu, AirAsia (Malaysia) mengumumkan tambahan penerbangan lewat malam untuk memenuhi permintaan penerbangan di laluan popular menjelang sambutan Tahun Baru Cina, antara 31 Januari hingga 12 Februari depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, syarikat penerbangan itu akan menambah 22,000 tempat duduk daripada 43,500 tempat duduk yang disediakan, menjadikan keseluruhan 65,520 tempat duduk yang boleh didapati pada musim perayaan berkenaan.

Katanya, penerbangan tambahan itu termasuklah laluan ke/dari Pulau Pinang, Kuching, Kota Kinabalu, Sibu dan Miri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 November 2018 @ 10:08 AM