ANTHONY Loke. FOTO Arkib NSTP
ANTHONY Loke. FOTO Arkib NSTP
Ayisy Yusof


KERAJAAN menarik keluar dua laluan di bawah perjanjian Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) iaitu Kota Kinabalu-Sibu serta Kota Kinabalu-Bintulu yang ketika ini dikendalikan MASwings Sdn Bhd (MASwings).

Bagaimanapun, dua laluan berkenaan akan dikendalikan oleh AirAsia Group Bhd (AirAsia) bermula Januari 2019.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, kabinet baru-baru ini meluluskan operasi penerbangan komersial AirAsia bagi kedua-dua laluan berkenaan sekali gus akan memberi pampasan kepada MASwings.

Katanya, kelulusan kabinet itu menyaksikan penamatan kontrak pengendali pada masa ini iaitu MASwings yang sepatutnya berakhir menjelang 2024.

“Kerajaan menarik keluar dua laluan ini daripada perjanjian RAS dan membenarkan syarikat penerbangan komersil untuk mengendalikannya. “Kedua-dua laluan ini adalah laluan dengan permintaan yang tinggi dan dianggap sebagai bukan lagi kawasan luar bandar,” katanya pada majlis pengumuman khas AirAsia di Sepang, hari ini.

Loke berkata, kerajaan juga secara beransur-ansur menyasar untuk mengurangkan subsidi RAS bagi mengekalkan perkhidmatan penerbangan ke kawasan luar bandar.

“Harga siling bagi subsidi RAS dijangka menurun bermula awal 2020 berikutan perbelanjaan operasi oleh MASwings yang berkurangan di laluan berkenaan,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan mengkomersialkan laluan di bawah rangka kerja RAS termasuklah dari Kota Kinabalu-Tawau, Kota Kinabalu-Sandakan, Kota Kinabalu-Miri, Kuching-Sibu, Kuching-Bintulu dan Kuching-Miri.

“Kami berharap inisiatif ini akan mengurangkan subsidi kerajaan dan dalam masa sama mengurangkan harga tiket penerbangan dan menambah lebih banyak kapasiti penerbangan komersial bagi dua laluan baharu ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 November 2018 @ 5:57 PM