Mohd Roji Kawi


Kuching: Ketidakserasian dengan keadaan lebuh raya, kurang kefahaman dengan fungsi 'Pusingan P' serta memandu melebihi had laju dikenal pasti antara punca berlakunya peningkatan kemalangan maut di Lebuhraya Pan Borneo Sarawak.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini saja, sebanyak 355 kes kemalangan maut berlaku di sepanjang lebuh raya berkenaan, meningkat dua kes berbanding 353 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata, turut menyumbang berlakunya kemalangan ialah perbuatan penduduk membuka penghadang jalan di lebuh raya empat lorong itu untuk membuat laluan pintas kerana tidak mahu menggunakan Pusingan P yang disediakan di jarak setiap dua kilometer.

"Sebagai lebuh raya pertama di Sarawak, banyak kemalangan maut berlaku di Pan Borneo kerana masyarakat belum bersedia dengan keadaan jalan yang baharu.

"Pan Borneo berbeza dengan lebuh raya di Semenanjung yang berpagar dan hanya ada susur keluar masuk di kawasan tertentu, tetapi Pan Borneo adalah lebuh raya terbuka dengan pengguna kenderaan boleh keluar masuk sepanjang lebuh raya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Jelajah Advokasi Keselamatan Pam Borneo, di sini, hari ini.

Fadillah yang diberi tanggungjawab oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membantu Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bagi memantau pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo berkata, berikutan kadar kemalangan maut yang amat membimbangkan itu, sesi jejajah itu diadakan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat terhadap keselamatan ketika menggunakan lebuh raya berkenaan.

Jelajah advokasi itu membabitkan Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pejabat daerah.

Menurutnya lagi, berikutan keadaan jalan yang baik serta lurus, ramai pemandu memandu melebihi had laju yang ditetapkan iaitu hanya 90 kilometer sejam (90kmj)

"Kita menetapkan had laju 90 kmj berbanding 110 kmj di lebuh raya di Semenanjung kerana Pan Borneo adalah lebuh raya terbuka yang tidak berpagar yang boleh dimasuki dari mana-mana," katanya.

Sementara itu, mengenai perkembangan projek Lebuhraya Pan Borneo yang dilaksanakan dengan kos RM16 bilion, Fadillah berkata, laluan empat lorong sepanjang 787 kilometer dari Telok Melano di Sematan hingga Pujut di Miri itu kini 96 peratus siap.

"Hanya ada seksyen yang masih dalam pembinaan iaitu Bukit Begunan di Sri Aman yang direka bentuk semula berikutan masalah tanah, seksyen Sarikei yang memerlukan pemindahan paip air sepanjang 500 meter manakala di Lambir dalam Bahagian Miri juga pemindahan paip air sepanjang empat kilometer.

"Secara keseluruhan, lebuh raya itu akan siap sepenuhnya hujung tahun ini kecuali seksyen Lambir yang dijangka berlanjutan hingga tahun depan," katanya.

Mengenai projek pembinaan Sabah-Sarawak Link Road (SSLR), Fadillah berkata, fasa pertama projek bernilai RM7 bilion itu serta Lebuh Raya Trans Borneo yang bernilai RM3 bilion sedang dilaksanakan.

SSLR dibina bagi menghubungkan Sabah dan Sarawak tanpa perlu melalui Brunei manakala Lebuh Raya Trans Borneo pula adalah sistem rangkaian jalan raya utama menghubungkan Kalimantan (Indonesia), Sarawak dan Sabah (Malaysia) serta Brunei.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Julai 2023 @ 11:28 AM