DATUK Seri Fadillah Yusof. FOTO FAIL/Arkib NSTP
DATUK Seri Fadillah Yusof. FOTO FAIL/Arkib NSTP
Mohd Roji Kawi

Kuching: Kerajaan memutuskan siri rundingan terdahulu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diteruskan di peringkat pegawai untuk tindakan kementerian dan agensi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia seterusnya akan dibawa ke Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63) atau Mesyuarat Jemaah Menteri untuk dimuktamadkan.

Beliau berkata, Kabinet sudah meluluskan langkah untuk memperkasakan Platform Perundingan Tertinggi sebagai Platform Agenda Tindakan Pelaksanaan Majlis Khas MA63 (MKMA63) menerusi MTPMA63 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta membabitkan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg serta Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

"Mesyuarat pertama MTPMA63 dijadualkan pada Februari ini dan akan diadakan di Kuching sempena lawatan rasmi pertama Perdana Menteri ke Sarawak.

"Bagi Jawatankuasa Teknikal MA63 yang dipengerusikan oleh saya sendiri, kami akan meneliti dan meneruskan perbincangan dengan semua agensi serta memuktamadkan semua perkara yang belum diputuskan untuk di bawa ke MTPMA63," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, antara perkara yang sudah dimuktamadkan ialah proses penyerahan kuasa kawal selia gas kepada Kerajaan Negeri Sabah dengan ia juga sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 27 Disember lalu.

"Kabinet juga bersetuju untuk menambahbaik peruntukan di dalam Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan membabitkan Pemberian Khas kepada Sabah dan Sarawak.

"Formula dari segi jumlah kenaikan pemberian khas itu akan dimuktamadkan dalam mesyuarat yang akan dipengerusikan Perdana Menteri di Kuching Februari nanti," katanya.

Bagaimanapun katanya, secara prinsipnya, Jemaah Menteri bersetuju untuk mempertimbangkan penambahbaikan Pemberian Khas sedia ada kepada kedua-dua wilayah berkenaan.

"Jemaah Menteri juga bersetuju mengiktiraf agensi teknikal di Sabah dan Sarawak dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan Sarawak diiktiraf sebagai Jabatan Teknik.

"Dengan pengiktirafan itu JKR Sabah dan Sarawak diberi kuasa mentadbir urus projek-projek pembangunan persekutuan pada kadar sehingga RM50 juta," katanya.

Menurutnya lagi, kerajaan turut memberi komitmen untuk meneruskan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dan Sabah kerana ia adalah inisiatif Kerajaan Persekutuan untuk menambahbaik secara berperingkat jaringan infrastruktur jalan persekutuan di Sabah dan Sarawak.

"Projek Pan Borneo Sarawak kini sudah 91 peratus siap, manakala projek Pan Borneo Sabah sudah 73 peratus siap.

"Kerajaan juga komited dalam meneruskan Projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) yang terbahagi kepada dua fasa iaitu SSLR Fasa 1 (Lawas-Persimpangan Long Lopeng), kini sudah 10 peratus siap dan SSLR Fasa 2 serta Lebuhraya Trans Borneo yang membabitkan Miri-Limbang-Lawas," katanya.

Katanya lagi, Lebuhraya Trans Borneo akan dimulakan sebaik sahaja Kementerian Kerja Raya selesai melantik kontraktor yang dijangka akan dimuktamadkan pada 2024.

"Ini semua membuktikan komitmen dan kesungguhan tekad Kerajaan Persekutuan dalam menyelesaikan semua isu berkaitan MA63 yang masih lagi tertunggak dan memartabatkan MA63 serta memantapkan infrastuktur untuk rakyat di Sabah dan Sarawak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2023 @ 9:59 PM